Kerajaan Selangor akan memperketat prosedur pengurusan tanah di negeri itu bagi mengelakkan kes kartel tanah seperti dilapor sebelum ini terus berlaku.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari sebagai mengulas insiden pemindahan milik tanah secara tidak sah yang berlaku di Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Klang berkata, pihaknya memandang serius kelemahan dalam sistem sedia ada.
"Kesalahan ini dilakukan ketika peralihan pengurusan tanah secara biasa (manual) kepada digital (e-tanah) dan ia bukan selalu dibuat, sekali sahaja.
"Tetapi kita akan menitikberatkan peningkatan prosedur seperti proses keluar masuk data supaya ruang untuk memanipulasikan sistem dapat ditutup sepenuhnya," katanya dipetik.
Amirudin berkata begitu kepada pemberita selepas melawat tapak Projek Green House di Kebun Komuniti Kampung Baru Batu Caves dan Taman Batu Caves di Gombak pada Ahad.
Sebelum ini, media melaporkan polis membongkar kegiatan memindah milik tanah secara tidak sah membabitkan ‘orang dalam’ di PTD Klang dan membawa penahanan 17 individu, sejak September lepas kerana disyaki terbabit kartel berkenaan membabitkan tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta.
Mengulas perkara itu Amirudin berkata, pihak Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan disiplin terhadap mereka yang terlibat mengikut tata kerja dan peraturan disiplin perkhidmatan awam.
"Langkah ini termasuk mengadakan siasatan dalaman (domestic inquiry) melalui jawatankuasa disiplin, tetapi biar pihak berkuasa menjalankan siasatan terlebih dahulu.
"Jika terbukti bersalah, kita akan menyusuli tindakan selepas itu," katanya.
Beliau turut berkata, setakat ini hanya PTD Klang dikenal pasti terlibat dalam kegiatan berkenaan namun kerajaan negeri tidak menolak kemungkinan wujud kes serupa di pejabat tanah lain.
Comments