Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.3% pada suku ketiga tahun 2024 (S2 2024: 5.9%), didorong oleh aktiviti pelaburan yang kukuh dan peningkatan eksport yang berterusan, demikian menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu berkata aktiviti pelaburan pula disokong oleh perbelanjaan yang kukuh bagi struktur serta jentera dan peralatan manakala perbelanjaan isi rumah terus meningkat berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan sokongan dasar.
"Dalam sektor luaran, eksport terus mengukuh berikutan permintaan luaran yang semakin pulih dan limpahan positif daripada peningkatan kitaran teknologi global.
"Import juga berkembang pada kadar lebih pantas, berikutan permintaan barangan modal dan barangan perantaraan yang kukuh untuk menyokong peningkatan pelaburan dan perdagangan," kata BNM dalam kenyataannya.
Dari segi penawaran, BNM menyatakan kebanyakan sektor terus menyokong pertumbuhan khususnya peningkatan dalam sektor perkilangan didorong oleh kelompok berorientasikan eksport.
Pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, momentum pertumbuhan menjadi sederhana kepada 1.8% (S2 2024: 2.9%) menjadikan secara keseluruhan, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.2% bagi tiga suku pertama 2024.
Dalam pada itu, BNM berkata inflasi keseluruhan dan inflasi teras kekal stabil pada 1.9% (S2 2024: 1.9%). "Inflasi yang lebih tinggi dicatatkan untuk diesel (20.1%; S2 2024: 5.3%) dan insurans kenderaan (0.8%; S2 2024: -0.1%), yang diimbangi dengan pengurangan inflasi untuk makanan dan minuman (1.6%; S2 2024: 1.9%), khususnya makanan di luar rumah, bijirin, dan sayur-sayuran segar," ujarnya.
Ringgit pula menambah nilai berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan berdasarkan asas kadar tukaran efektif nominal (NEER), kata BNM.
"Pada suku ketiga 2024, ringgit menambah nilai sebanyak 14.9% berbanding dolar AS, manakala kadar pertukaran efektif nominal ringgit juga menambah nilai sebanyak 9.9%.
"Hal ini sebahagiannya boleh dikaitkan dengan peralihan ke arah pendirian pelonggaran dasar monetari oleh Federal Reserve AS, yang telah mengurangkan tekanan terhadap mata wang serantau, termasuk ringgit.
"Walau bagaimanapun, ringgit telah menurun nilai sebanyak 7.8% berbanding dolar AS dari 1 Oktober hingga 13 November 2024. Hal ini terutamanya didorong oleh dolar AS yang lebih kukuh dalam tempoh yang sama, dalam keadaan jangkaan pengurangan kadar dasar AS yang lebih kecil berikutan data ekonomi AS yang kukuh," kata kenyataan itu lagi.
BNM berkata prospek makroekonomi Malaysia yang baik dan pembaharuan struktur yang berterusan akan menyokong ringgit dalam jangka sederhana. BNM akan terus memastikan pasaran pertukaran asing dalam negeri berfungsi dengan teratur.
Comments