top of page

Ekonomi Malam: Utamakan Penjaja, Bukan Lagi Menara Tinggi




Oleh: Andre Lai


ULASAN: Ekonomi malam telah menjadi fenomena global dan semakin popular di kalangan pelancong dan penduduk tempatan. Pada dasarnya, ekonomi malam adalah aktiviti ekonomi yang berlaku pada waktu malam, termasuk perniagaan, rekreasi, dan hiburan. Ia mempunyai potensi besar untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu.


Metropolis besar seperti Bangkok dan Jakarta, mempunyai suasana ekonomi malam yang merangsangkan. Di Kuala Lumpur, selain daripada pasar malam tradisional, terdapat Jalan Petaling dan Jalan Alor yang sentiasa makmur dan penuh dengan pelancong. Di sesetengah tempat, terdapatnya istilah ‘uptown’ atau bazar larut malam yang unik, hanya ada di Malaysia.


Namun begitu, peniaga-peniaga kecil, tidak kira yang berniaga di siang atau malam, mempunyai satu persamaan – kebanyakan daripada mereka membuat perniagaan di atas tapak awam yang tidak terurus.


Meskipun kerajaan menempatkan mereka untuk berniaga di tempat-tempat tertentu, akhirnya mereka tetap berpindah balik ke tepi jalan. Ambil contoh Bazaria Wangsa Maju, meskipun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan tapak yang luas, tetapi ada juga memilih untuk membuka gerai di tepi jalan, menyebabkan kesesakan kenderaan yang tidak munasabah di dalam taman perumahan.


Gerai masih berselerak, penguatkuasaan lemah


Semasa bulan Ramadan lalu, saya meninjau dan melihat sendiri bagaimana ketiadaan penguatkuasaan di Bazaria Wangsa Maju menyebabkan gerai berselerak di sepanjang jalan, di atas kaki lama, di atas jalan besar. Pihak peniaga yang berlesen mengeluh bagaimana gerai tidak berlesen boleh berleluasa. Soal sebegini, sekiranya tidak mendapat perhatian serius, saya khuathir ia akan menimbulkan banyak khabar angin dan spekulasi.


Penulis (dua dari kanan) melawat bazaria yang menjadi nadi ekonomi malam di Kuala Lumpur

Sekiranya dahulu pada 1980an, kita hanya melihat peniaga berleluasa di Chow Kit dan Jalan Raja Laut, hari ini kita boleh melihat gerai jualan dan warung makan tumbuh di mana-mana berdekatan dengan kawasan perumahan. Kawasan tempat perniagaan ringkas dengan struktur asas seperti khemah, biasanya tidak mempunyai tahap kebersihan yang memuaskan. Lebih memeranjatkan apabila mereka mengambil kesempatan ke atas infastrutuktur kerajaan seperti bekalan elektrik dari tiang elektrik dan mencuri air daripada pili air Selangor. Bukan susah dalam Kuala Lumpur untuk melihat mereka yang menggunakan parkir kereta Orang Kurang Upaya (OKU) atau perhentian bas untuk tujuan perniagaan.


Saya boleh memahami, kerana Kuala Lumpur merupakan satu pusat metropolis yang membangun dengan pesat. Terdapat banyak kawasan komersial yang ada untuk menjalankan perniagaan, namun fenomena peniaga yang berniaga di kaki lima, kadang-kadang mendatangkan masalah kepada peniaga di dalam kedai, yang menampung perbelanjaan yang lebih besar seperti sewa kedai, cukai dan utiliti yang tinggi.


Penguatkuasaan yang lemah, menyebabkan kawasan perniagaan tumbuh seperti cendawan lepas hujan. Apabila tindakan penguatkuasa menutup satu gerai, 2 gerai akan muncul selepas itu. Oleh kerana tidak ada pemantauan, peniaga biasanya bergantung kepada kumpulan tempatan yang menyebabkan kembalinya golongan ‘hulubalang’ kawasan.


Potensi besar ekonomi malam


Sebenarnya, ekonomi malam merupakan potensi besar. Peniaga kecil di Kuala Lumpur pastinya boleh mendapat manfaat daripada konsep ekonomi malam dengan memanfaatkan peningkatan trafik pejalan kaki dan permintaan untuk barangan dan perkhidmatan pada waktu petang.


Saya sering mendengar rungutan peniaga yang menyalahkan ekonomi yang lemah; bahkan ada yang merungut tahun ini tidak ada pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menyebabkan rakyat tidak berduit untuk berbelanja. Apa jua alasan, sekiranya restoran mewah boleh penuh sepanjang bulan Ramadan, mengapa peniaga jalanan dengan harga yang jauh lebih murah tidak mampu menarik pelanggang?


Keadaan boleh berubah sekiranya kerajaan tempatan dan peniaga boleh berkongsi idea dengan fokus bersasar mengembangkan ekonomi malam. Antara pembaharuan yang boleh dicadangkan adalah:


• Memindah tumpuan kawasan perniagaan: Kerajaan tempatan harus menempatkan perniagaan di tempat yang khusus untuk perniagaan tanpa menganggu ketenteramaan awam. Satu kejayaan DBKL boleh dilihat dengan ketara adalah Pudu ICC, di mana penjaja asalnya datang dari Pasar Pudu. Kerajaan juga boleh mengambil ikhtiar seperti di Bangkok, di mana segala perniagaan ekonomi malam di khususkan di kompleks dan jalan tertentu, seperti Khao San Road dan Yaoratiwat (Chinatown). Dengan cara ini, ia memudahkan kerajaan untuk membuat promosi tersasar secara besar-besaran.


• Menyediakan sokongan infrastruktur: Peniaga kecil memerlukan infrastruktur yang sesuai untuk beroperasi dengan berkesan. Ini termasuk kemudahan seperti elektrik (bukan bergantung kepada tiang lampu awam), air (bukan mengambil dari pili AirSelangor), dan pengurusan sisa (bukan membuang sisa dalam longkang.


• Melaksanakan pelesenan dan peraturan: Peniaga kecil harus dilesenkan dan dikawal untuk memastikan mereka mematuhi peraturan keselamatan, kebersihan dan peraturan lain. Ini akan membantu mewujudkan persaingan sama rata dan menghalang peniaga yang tidak bertanggungjawab daripada beroperasi secara haram. Pada masa yang sama, tindakan penguatkuasaan kerajaan tempat yang lebih tegas harus diutamakan.


• Menggalakkan kerjasama antara peniaga: Peniaga kecil boleh digalakkan untuk bekerjasama untuk meningkatkan perniagaan mereka. Ini boleh termasuk perkongsian sumber seperti kemudahan penyimpanan, peralatan dan pemasaran. Ia juga boleh melibatkan promosi dan acara bersama yang memberi manfaat kepada semua peniaga di kawasan itu.


• Pelbagaikan penawaran produk: Peniaga kecil boleh mengembangkan rangkaian produk atau makanan mereka untuk memenuhi keperluan pelanggan pada waktu malam. Tidak ada manfaat kepada sesiapa pun sekiranya setiap warung menjual Sate Kajang atau Penang Char Kuey Teow.


• Kreatif dan inovasi promosi menaik daya saingan: Peniaga kecil harus digalakkan untuk menjadi inovatif dan kreatif dalam perniagaan mereka. Misalnya, peniaga kecil boleh melabur dalam lampu dan papan tanda untuk menjadikan gerai mereka lebih kelihatan dan menarik pada waktu malam. Ini boleh termasuk memperkenalkan produk baharu, menggunakan media sosial untuk pemasaran atau mencipta pengalaman unik untuk pelanggan.


• Kaedah pembayaran digital: Peniaga kecil boleh menawarkan pilihan pembayaran digital untuk menjadikan transaksi lebih lancar dan cekap. Ini mungkin termasuk menggunakan e-dompet atau kod QR untuk menerima pembayaran daripada pelanggan yang memilih untuk membayar secara digital.


• Menyediakan latihan dan pendidikan: Peniaga kecil boleh diberikan latihan dan pendidikan untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan mereka. Ini boleh termasuk bengkel tentang kebersihan, keselamatan, perkhidmatan pelanggan dan pengurusan kewangan yang boleh dipelajari daripada contoh ekonomi malam yang berjaya seperti Amsterdam dan Hong Kong.


Mencipta peluang pekerjaan baharu


Kesimpulannya, ekonomi malam mempunyai potensi yang besar untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan mencipta peluang pekerjaan baharu. Banyak tempat pelancongan seluruh dunia telah memanfaatkan potensi ini dengan memperkenalkan inisiatif dan program untuk mempromosikan aktiviti ekonomi malam yang selamat dan teratur.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah dalam banyak kali menekankan untuk memperbaiki keadaan penjaja. “Negara sudah cukup berselirat dan terkenal dengan projek mega dan mercu tanda, tetapi saya juga mahukan negara terkenal dengan kemudahan penjaja, gerai dan warung yang bersih dan indah,” katanya di Parlimen dan di ulangkan lagi dalam Kongres Khas KEADILAN 2023 pada bulan Mac lalu.


Wawasan 2020 telah berlalu tanpa perubahan drastik. Saranan Perdana Menteri, berdasarkan pendekatan reformasi institusi kerajaan Malaysia Madani adalah lebih realistik. Di mana kemahuan, di situ ada jalan. Kali ini, pastikan kami tidak lagi terpesong dari perjalanan.


______________________________________________________________________________

Penulis merupakan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju dan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page