top of page

Ekonomi MADANI bersedia hadapi cabaran perang dagang AS - Dr Mujahid

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 day ago
  • 2 min read


Perang dagang Amerika Syarikat (AS) ke 158 negara dunia dengan mengenakan tarif tinggi setiap barangan yang masuk ke negara kuasa besar itu tidak mengecualikan Malaysia.


Negara ini menerima tarif 24% yang bakal meningkatkan harga produk eksport Malaysia ke negara Uncle Sam.


Bagi Timbalam Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, AS yang merupakan rakan dagangan terbesar dari segi kuantiti eksport, iaitu kira kira AS$ 80.2 bilion pada 2024, sedikitnya akan memberi impak negatif terhadap ekonomi negara, khususnya kepada sektor pembuatan.


Bagaimanapun, kata beliau, setahun sebelum ini Kerajaan Perpaduan telah pun memperkenalkan konsep Ekonomi MADANI dan ianya dijangka mampu menyerap kesan tarif AS itu.


"Dari sudut dasar negara di bawah ikhtiar kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan telah menetapkan sejak dari awal lagi asas persediaan ketidaktentuan sebagai latar kemunculan Ekonomi MADANI.


"Antara produk Ekonomi MADANI ialah Pelan Induk Baharu Perindustrian atau New Industrial Master Plan (NIMP) yang akan meningkatkan sektor industri negara menumpukan kepada industri mengikut keutamaan negara dan antara lainnya mengukuhkan rantaian bekalan produk negara serta meluaskan skop Alam Sekitar, Social dan Tatakelola atau Environmental, Social and Governance (ESG) sebagai syarat utama perdagangan serta perniagaan.


"Semua ciri-ciri ini terkandung dalam asas ekonomi MADANI yang paling teras, iaitu Kemampanan. Makna Kemampanan ialah kemampuan untuk kekal stabil dalam apa jua kondisi supaya dapat berterusan berperanan secara berkesan. NIMP merupakan penampan kepada impak global daripada perubahan dasar penguatkuasaan tarif dan ianya perlu diperkukuhkan lagi," katanya dalam kenyataan.


Secara asasnya, kata Dr Mujahid, Ekonomi MADANI telah melahirkan dasar-dasar yang menyediakan tapak ekonomi yang menjadi pelantar kepada pasaran ekonomi baharu.


Malaysia juga, katanya, bersiap-sedia ke arah pelan baharu perpindahan ekonomi tenaga fosil kepada tenaga boleh diperbaharui dengan pakej insentif ekonomi hijau.


Pelan ini memberi peluang untuk Malaysia mencari potensi rakan perdagangan baharu yang tidak terikat dengan pandangan ke blok Barat semata-mata ketika kemajuan teknologi telah beralih kepada negara-negara seperti India dan China.


Selain itu, kata Senator Dewan negara itu, kelebihan Malaysia dalam menangani tarif baru AS terletak juga kepada kepimpinan negara sebagai Pengerusi ASEAN, yang pada tahun 2022 sebelumnya telah memasuki persetujuan serantau antara negara ASEAN dan Australia, New Zealand, Jepun, China dan Korea Selatan.


"Ia merupakan blok ekonomi terbesar dalam FTA yang akan memberikan rantau ASEAN kelebihan dengan China sebagai rakan perdagangan terbesar.


"Selain itu, Malaysia juga telah diterima sebagai rakan negara BRICS awal tahun ini bersama beberapa negara-negara lain dan pastinya memberikan kelebihan kepada Malaysia mencari potensi pasaran baharu dan rakan perdagangan baharu di kalangan negara Hemisfera Selatan," ujarnya.


Bagaimanapun, kata Dr Mujahid, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebelum ini membayangkan akan merujuk tarif AS kepada Kerangka Perjanjian Perdagangan dan Pelaburan atau Trade and Investment Framework Agreement (TIFA) sebagai potensi wahana rundingan bersekali dengan Perjanjian Perdagangan Bebas atau Free Trade Agreement (FTA), supaya Malaysia tidak kehilangan peluang hubungan perdagangan yang lebih progresif dan adil demi kepentingan negara.


Justeru, kata beliau, diplomasi merupakan batu tanda (hallmark) Malaysia dalam menangani isu perdagangan global dengan mengimbangi kedaulatannya dan kekal bersaing secara kompetitif.

Comentarios


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page