Oleh: Fiza Halim
Gaji dan upah rakyat Malaysia mengalami peningkatan sebanyak 6.9% pada tahun 2023 menunjukkan ekonomi berada di landasan yang betul.
Kenaikan tersebut didorong oleh pelbagai inisiatif kerajaan untuk meningkatkan pendapatan pekerja.
Penganalisis ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, peningkatan tersebut berlaku disebabkan oleh kemasukan pelaburan asing menjana lebih banyak peluang pekerjaan dan pendapatan yang lebih tinggi kepada pekerja.
"Salah satu sebab (adalah) pelaburan asing, di mana berlaku perniagaan besar dan menambah peluang perniagaan juga menambah jumlah sumbangan oleh majikan kepada pekerja.
"Selain itu, kita juga merujuk kepada syarikat besar di Malaysia yang jumlahnya satu peratus sahaja, mereka ini merupakan majikan besar dan mampu bayar gaji yang lebih tinggi sehinggan RM4,500 sebulan," katanya ketika dihubungi.
Laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) baru baru ini menyatakan purata gaji dan upah rakyat Malaysia meningkat 6.9%.
Statistik ini dikumpul berdasarkan Survei Gaji dan Upah yang dijalankan oleh DOSM melalui pendekatan isi rumah untuk mengukur gaji dan upah bulanan yang diterima oleh pekerja sepenuh masa dalam kalangan warganegara Malaysia yang bekerja di sektor awam dan swasta berdasarkan pekerjaan utama mereka.
Bagaimanapun, menurut Dr Barjoyai, kemasukan pelaburan asing ini ke Malaysia adalah disebabkan oleh kos buruh yang dibayar lebih murah.
"Tetapi kita juga perlu lihat dalam sektor-sektor tertentu dia (pelabur) datang ke Malaysia kerana dijanjikan dengan kos buruh yang murah. Jadi mereka datang untuk membayar jumlah gaji paling minima dan gaji (minimum) kita RM1700.
"Sekurang-kurangnya kita boleh kata pelaburan asing bawa peluang pekerjaaan dan meningkatkan pendapatan (pekerja Malaysia)," ulasnya.
Namun menyentuh purata gaji bagi kategori berkemahiran rendah yang meningkat sebanyak RM147, Dr Barjoyai berkata, hal itu tidak akan menjadi asas ukuran kepada peningkatan sektor peruncitan.
"Kalau kita tengok keseluruhan sumbangan majikan kepada pekerja masih rendah dalam 30% hingga 35% daripada pendapatan kasar mereka, sebelum ini kadarnya adalah 37%.
"Sebagai contoh di Langkawi ia menjadi layu sebab majikan tak mampu bayar gaji tinggi, produktiviti pekerja menurun dan pelanggan tidak berpuas hati.
"Bagi sektor peruncitan pula, di Malaysia ia berubah-ubah. Rakyat lebih suka kepada peruncitan besar seperti supermarket, hipermarket dan ini mengubah peranan kedai-kedai runcit yang kecil," jelasnya lagi.
Comments