
Bagi meraikan golongan kurang berkemampuan menjelang Hari Raya Aidilfitri, isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turun padang menyampaikan sumbangan tunai berserta bakul makanan Rahmah kepada kira-kira 200 penerima di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak hari ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak turut mengagihkan sumbangan bubur lambuk kepada orang ramai dan komuniti setempat.
Wan Azizah berkata, program tersebut bukan sahaja menjadi platform menyantuni masyarakat malah dapat mengeratkan silaturahim komuniti di Bandar Tun Razak.
"Aktiviti gotong-royong memasak dan mengagihkan bubur lambuk ini mengembalikan nostalgia amalan tradisi yang penuh dengan nilai murni dan semangat kekeluargaan.
"Sempena bulan Ramadan yang mulia ini juga, marilah kita sama-sama menginsafi diri dan memperingati golongan yang memerlukan. Sesungguhnya, Ramadan mengajar kita erti kesabaran, keikhlasan dan keprihatinan terhadap sesama insan," katanya ketika berucap pada Program Sumbangan Kasih MADANI dan Pengagihan Bubur Lambuk di Surau Al-Mustaqimah, Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur.
Wan Azizah berkata pihaknya berharap sumbangan kecil yang disalurkan itu dapat meringankan beban golongan yang memerlukan dan memberi kegembiraan buat mereka menyambut lebaran yang bakal menjelang.
"Saya juga mendoakan agar semua sahabat-sahabat sukarelawan yang sudi meluangkan masa membantu menjayakan program hari ini diberikan ganjaran kebaikan di dunia dan di akhirat atas usaha murni kalian," ujarnya lagi.
Turut bersama dalam majlis itu adalah Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin dan pemimpin tempatan KEADILAN Bandar Tun Razak yang lain.
Comments