Ulang tahun kedua penubuhan Kerajaan Perpaduan Madani yang disambut dengan pameran kejayaan polisi pentadbiran di KLCC, Kuala Lumpur dilawati rakyat dengan jumlah yang mengkagumkan.
Menurut Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa, kehadiran semalam sewaktu menyaksikan Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim di KL Convention Centre mencecah jumlah puluhan ribu pengunjung.
"Pagi ini saya melihat sambutan yang luar biasa terutamanya di dewan pameran ketika saya menghadiri Majlis Perasmian Program 2 Tahun Kerajaan MADANI (2TM) yang disempurnakan oleh Perdana Menteri.
"Program yang bertemakan 'MADANI di Hati, Rakyat Disantuni' ini adalah bersempena menyambut kejayaan dan kecemerlangan Kerajaan MADANI yang telah memasuki tahun kedua pimpinan PM
"Sewaktu sesi townhall berlangsung, PM singgung mengenai penganjuran program ini sebagai suatu platform untuk melihat kemajuan yang telah dikecapi dan merancang langkah-langkah baru bagi memastikan Malaysia kekal makmur lagi maju," katanya dalam catatan di Facebook.
Manakala hari ini, kata Dr Zaliha, akan berlangsung Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam yang diharap akan mendapat kehadiran yang sama meriah sebagaimana semalam.
"Alhamdulillah, penganjuran 2TM dan Konvensyen ini mencerminkan usaha Kerajaan yang tekad untuk mengangkat martabat rakyat dan negara, di samping meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai hala tuju serta matlamat Kerajaan MADANI yang berpaksikan kepentingan dan keperluan rakyat," katanya lagi.
Untuk rekod, pada hari pembukaan 22 November lalu pameran telah dilawati sekitar 85,217 pengunjung, semalam jumlah pengunjung mencecah 117,912. Manakala jumlah pengunjung keseluruhan ialah 203,129 orang.
コメント