top of page

Dua tahun kerajaan MADANI: Tawar 3,000 peluang kerja, 150 perkhidmatan



Sebanyak 3,000 peluang pekerjaan membabitkan pelbagai jawatan bakal ditawarkan pada program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 22 hingga 24 November ini.


Ketua Komunikasi Korporat Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri Sapian Mamat berkata, sebanyak 40 majikan bakal menyertai karnival kerjaya pada program tersebut selain 150 jenis perkhidmatan disediakan kepada orang ramai.


"Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyediakan kaunter bayaran saman dan pertukaran topi keledar, perkhidmatan pemeriksaan kesihatan, tawaran pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) sehingga 60 peratus serta 80 usahawan Jualan MADANI yang berlangsung selama tiga hari bermula 9 pagi hingga 6 petang.


"Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut menyediakan khidmat nasihat urusan pencen dan persaraan, program penajaan dan penerangan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) selain perkhidmatan cetakan semula sijil secara percuma dan banyak lagi," katanya dipetik dari Program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio hari ini.


Dengan tema “MADANI di hati, rakyat disantuni”, program tersebut bertujuan untuk memberi ruang kepada rakyat agar lebih memahami usaha-usaha dan inisiatif Kerajaan MADANI, serta usaha reformasi perkhidmatan awam yang telah diterjemahkan untuk manfaat secara langsung kepada rakyat terbanyak.


Selain itu, sambutan juga bertujuan meningkatkan kesedaran rakyat mengenai hala tuju dan matlamat kerajaan yang berpaksikan kepentingan rakyat.


Melalui laporan berkala mengenai status pelaksanaan yang telah diambil kerajaan, program ini menggalakkan ketelusan dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap kerajaan.


Sepanjang tiga hari penganjuran itu, setiap negeri akan melakukan acara satelit yang menyaksikan terdapat beberapa aktiviti berlangsung serentak di seluruh negara.


Pada 9 November lalu, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menyasarkan lebih 230,000 pengunjung hadir ke program tersebut.


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual merasmikan program itu pada 11 pagi, 23 November ini.

0 comments

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page