Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan menggariskan 11 perubahan yang berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh dua tahun pentadbiran kerajaan perpaduan sejak 2022, demikian menurut Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau dalam kenyataan berkata, keperluan asas rakyat seperti keterjaminan makanan, kos sara hidup, pengurusan ekonomi hingga kepada agenda reformasi institusi, menjadi tumpuan usaha kerajaan bagi memastikan kesejahteraan rakyat negara ini.
"Dua tahun mungkin terasa singkat, tetapi ia adalah tempoh yang penuh dengan cabaran, pembelajaran, dan kejayaan.
"Kerajaan Madani dibina atas asas perpaduan, keadilan, ketelusan, dan kepedulian kepada rakyat. Dalam tempoh ini, kita telah sama-sama berusaha - memastikan agenda ini dilaksanakan dengan penuh rahmah dan amanah," katanya dalam kenyataan.
Mohamad yang juga Presiden Amanah menyatakan antara perubahan yang dilakukan di kementeriannya ialah menggerakkan reformasi padi dan beras secara besar-besaran bagi meningkatkan kadar sara diri (SSR) beras negara.
"Kerajaan juga memperkukuh penguatkuasaan dan menyusun semula sektor ini supaya lebih berdaya saing serta meningkatkan pendapatan para pesawah di negara ini," ujarnya.
Jelas beliau, kementerian turut memulakan usaha penanaman bawang secara besar-besaran bagi mengurangkan import bawang sehingga 30% pada tahun 2030.
"Sekarang negara perlu mengimport hampir 100% dari sumber luar," katanya.
Mengenai hasil pengeluaran pertanian, kata beliau penghasilan nanas bagi tujuan eksport telah meningkat 100% iaitu
daripada 800 kontena pada Januari lalu kepada 1,727 kontena pada Oktober sekali gus menyumbang kepada peningkatan
pendapatan negara.
Kata beliau, negara ini juga telah mendapat kebenaran untuk mengeksport durian segar ke China berbanding sebelum ini hanya dalam bentuk sejuk beku yang mana ia dijangka menambah nilai eksport negara sehingga RM1.8 bilion menjelang 2030.
"Menstruktur semula subsidi ayam – dan hasilnya wang rakyat dapat dijimatkan hampir RM100 juta sebulan dan bekalan serta harga ayam terus stabil sehingga ke hari ini," ujarnya.
Berikut beberapa lagi langkah diperkenalkan dalam membantu rakyat, golongan petani dan pesawah:
- Memperluas program Jualan Agro Madani agar rakyat boleh mendapat akses bekalan makanan dengan penjimatan sehingga 30%
daripada harga pasaran.
- Meningkatkan jumlah bantuan Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 per metrik tan kepada RM500 per metrik tan serta menaikkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 per metrik tan kepada RM1,300 per metrik tan.
- Meneruskan elaun sara hidup dan subsidi diesel kepada nelayan supaya kumpulan sasar ini terus mendapat sokongan dan dukungan daripada Kerajaan.
- Bantuan tunai bulanan Skim Budi Madani Agro Komoditi supaya petani yang terkesan dengan penyasaran semula subsidi diesel mendapat bantuan yang sewajarnya daripada pihak Kerajaan.
- Memberikan Subsidi Beras Import kepada penduduk Sabah, Sarawak dan Labuan yang bernilai RM23 juta sebulan supaya dapat membantu penduduk di wilayah ini menyerap kesan kenaikan harga beras dunia.
- Melaksanakan reformasi institusi untuk memperbaiki sistem pentadbiran jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian.
Comments