Tahap kepuasan hati orang ramai terhadap Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas dua tahun pentadbirannya meningkat kepada 54% berbanding 50% pada tahun lalu, demikian menurut tinjauan Merdeka Center pada awal Disember.
Menurut dapatan tinjauan yang dikeluarkan itu, pengundi pada umumnya berpuas hati dengan prestasi perdana menteri dalam beberapa aspek seperti menarik pelaburan, memperbaiki imej negara dan meningkatkan perkhidmatan awam.
"Namun, penilaian bercampur-campur diberikan terhadap usaha untuk memperkukuh ekonomi," kata tinjauan itu.
Tinjauan melibatkan seramai 1,207 pengundi berdaftar pelbagai kaum itu mendapati, penarafan Kerajaan Perpaduan berada pada 51% berbanding 46% pada November 2023.
"Tahap ketidakpuasan terhadap Kerajaan Persekutuan kini berada pada 47%.
"Jurang yang rapat antara penilaian positif dan negatif ini sebahagian besarnya dipengaruhi oleh kebimbangan berterusan mengenai tekanan kos sara hidup dan kebimbangan terhadap pengurangan subsidi yang dijangka akan berlaku pada masa depan," katanya.
Seperti sebelumnya, sentimen pengundi kekal tertumpu kepada ekonomi, yang sebahagian besarnya didorong oleh kebimbangan mereka terhadap ekonomi, dengan 65% menyatakan ia sebagai "masalah utama yang dihadapi rakyat hari ini”, kata tinjauan itu.
"Walaupun masih tinggi, angka ini telah menurun daripada 74% setahun lalu," katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 53% responden berpendapat negara sedang menuju arah yang salah, turun satu peratus (berbanding 54% setahun lalu) manakala bilangan pengundi yang berpendapat negara menuju ke arah yang betul meningkat sedikit kepada 39% berbanding 36% pada November 2023.
"Sebab utama yang disebut untuk arah yang salah adalah isu ekonomi (47%), ketidakstabilan politik (7%), dan pentadbiran yang lemah (8%)," menurut tinjauan itu lagi.
Comments