Oleh: Senator Dr Zulkifli Hasan
Rang Undang-Undang Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 (RUU Pentadbiran) dan Rang Undang-Undang Tatacara Mal (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 (RUU Tatacara Mal) telah diluluskan di Dewan Rakyat baru-baru ini. Ini merupakan pengalaman pertama saya membentang dan berbahas serta menggulung bagi dua RUU sekaligus walaupun masih baharu di Parlimen.
Agensi-agensi pengamal undang-undang dan pemegang taruh lain termasuk orang ramai sememangnya sudah lama menunggu-nunggu kedua-dua RUU ini dibentang dan diluluskan di Parlimen.
Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505] dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 [Akta 585] adalah akta yang sudah agak lama dan perlu diberi penambahbaikan yang menyeluruh. Persatuan Peguam Syarie Malaysia dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan termasuk agensi-agensi hal ehwal agama telah mengeluarkan kenyataan menyokong penuh dan mengiktiraf impak RUU ini.
Memperkasa pentadbiran agama
Kedua-dua RUU ini adalah sangat signifikan bagi memperkasakan lagi urusan pentadbiran agama Islam dan Mahkamah Syariah. Ia akan memperkemas, memperkukuh, mengefisyenkan lagi aspek pentadbiran agama termasuk hal ehwal Mahkamah Syariah.
Ini menunjukkan usaha berterusan dan bersepadu kerajaan untuk memperkasakan pentadbiran Islam dan memperkukuhkan perundangan Syariah khususnya di Wilayah-wilayah Persekutuan dan umumnya di Malaysia. Ini memandangkan undang-undang yang diluluskan di peringkat persekutuan boleh dijadikan model atau rujukan kepada negeri-negeri.
RUU Pentadbiran umumnya adalah untuk meminda Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505]. Akta 505 ini merupakan suatu Akta yang memperuntukkan aspek berkaitan dengan penguatkuasaan dan pentadbiran undang-undang Islam, penubuhan dan organisasi Mahkamah-Mahkamah Syariah dan perkara-perkara yang berhubungan dengannya.
Akta 505 turut memperuntukkan tentang peranan dan tanggungjawab pelbagai agensi agama di Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (Majlis), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Langkah melaksanakan pindaan ini dilihat sebagai inisiatif yang perlu dibuat untuk memastikan tadbir urus dan operasi agensi-agensi agama dapat berjalan dengan lebih baik dan lancar.
Mengenai Majlis, RUU Pentadbiran memperuntukkan penyusunan semula keanggotaan Majlis, penambahbaikan operasi pentadbiran dan kewangan Majlis, memasukkan kuasa Majlis untuk melantik pegawai dan pekhidmat Majlis, kuasa tentang pelaksanaan hal ehwal wakaf dan kuasa untuk menubuhkan dan menguruskan rumah kebajikan, tempat perlindungan dan pusat pemulihan, menaikan kadar hukuman bagi kesalahan membuat pungutan khairat tanpa kebenaran Majlis, memberi Majlis kuasa untuk melanjutkan tempoh perkhidmatan Imam Ratib dan Pembantu Bilal selepas mencapai umur enam puluh tahun sekiranya layak, membolehkan Majlis melantik Ketua Pendaftar Muallaf dan apa-apa bilangan Pendaftar Muallaf, memperuntukkan bahawa jika terdapat apa-apa lakuna atau apa-apa perkara tidak diperuntukkan dengan nyata dalam Akta 505, Hukum Syarak hendaklah terpakai, dan membuat penambahbaikan terhadap kuasa membuat kaedah-kaedah.
Prosiding pendengaran kes mal
Dalam konteks Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, RUU Pentadbiran memasukkan peruntukan yang membolehkan prosiding pendengaran kes mal dijalankan di mana-mana tempat lain selain Mahkamah yang ditubuhkan atau melalui teknologi komunikasi jarak jauh. Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan ke-131 juga telah memberikan pandangan hukum bahawa pendengaran prosiding melalui teknologi komunikasi jarak jauh adalah diharuskan dan tidak bertentangan dengan hukum syarak untuk dilaksanakan
RUU Pentadbiran memberi kuasa melalui undang-undang kepada Ketua Hakim Syarie untuk mengeluarkan arahan amalan supaya arahan amalan itu mempunyai kuat kuasa perundangan. Ini selari dengan amalan di Mahkamah Sivil iaitu Ketua Hakim Negara berbidang kuasa mengeluarkan arahan amalan sebagaimana yang diperuntukkan di bawah seksyen 17B Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Begitu juga dengan Jabatan Pendakwaan Syariah Wilayah Persekutuan di mana RUU Pentadbiran memasukkan peruntukan mengenai pelantikan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie dan kelayakan bagi pelantikan Ketua Pendakwa Syarie dan Timbalan Ketua Pendakwa Syarie. Ini dapat memastikan urusan hal ehwal pendakwaan akan terus berjalan secara berkesan walaupun semasa ketiadaan Ketua Pendakwa Syarie.
Perkemas pengurusan wakaf
Dari sudut wakaf, RUU Pentadbiran memperkemaskan lagi pengurusan hal ehwal wakaf dengan memasukkan secara jelas fungsi dan kuasa jawatankuasa wakaf dalam pelaksanaan wakaf di Wilayah-Wilayah Persekutuan dan memperuntukkan kuasa kepada Majlis dengan kelulusan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat kaedah-kaedah berkenaan dengan wakaf untuk memperincikan tentang pengurusan hal ehwal wakaf.
RUU Tatacara Mal pula melibatkan beberapa pindaan yang signifikan terhadap Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1998 [Akta 585]. Pindaan ini pastinya akan memberi kegembiraan kepada ramai pihak termasuk pengamal undang-undang, hakim dan orang ramai. Ini memandangkan pindaan ini memberi kemudahan dan keringanan dalam proses di Mahkamah termasuk merelevankan Mahkamah Syariah dengan perkembangan teknologi komunikasi.
RUU Tatacara Mal meminda Seksyen 3 untuk memasukkan takrif baharu "teknologi komunikasi jarak jauh” dan Seksyen 100 bagi penerimaan keterangan melalui teknologi komunikasi jarak jauh. Sebelum ini, pendengaran kes secara dalam talian melalui sidang video dilakukan secara pentadbiran dan perlu mendapatkan persetujuan pihak-pihak dan hendaklah dibuat permohonan terlebih dahulu kepada mahkamah Syariah.
Pindaan juga dibuat pada Seksyen 34 Akta 585 untuk memudahkan proses pelantikan Peguam Syarie tanpa perlu melafazkan wakalah di hadapan Mahkamah atau Pendaftar. Pindaan ini memberi kesan besar kepada masyarakat khususnya di Wilayah Persekutuan yang mana pihak-pihak dan peguam Syarie tidak perlu hadir ke Mahkamah. Ini akan memudahkan dan menjimatkan kos seiring dengan peradaran zaman dan perkembangan teknologi. Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan menerima pendaftaran kes yang sangat tinggi setiap tahun iaitu mencecah lebih kurang 1200 kes bagi setiap dewan, purata keseluruhan dewan bicara sebanyak 14 dewan termasuk Putrajaya dan Labuan.
Seksyen 109 Akta 585 dipinda bagi membolehkan permohonan dibuat untuk mendapatkan suatu perintah supaya seseorang yang ditahan di mana-mana tempat menurut kuasa yang diberikan di bawah mana-mana undang-undang bertulis dikemukakan di hadapan Mahkamah. Seksyen 109 sedia ada hanya memperkatakan mengenai permohonan berkenaan dengan orang yang dikurung di dalam penjara dan ini akan membuka ruang lebih luas dan memudahkan prosiding melibatkan pihak yang ditahan bukan sahaja di penjara.
Kuasa mahkamah dengar prosiding secara tertutup
Seksyen 119 Akta 585 memasukkan peruntukan nyata yang memberi Mahkamah kuasa untuk membenarkan apa-apa prosiding didengar secara tertutup. Prosiding secara tertutup ini penting kerana dalam keadaan tertentu demi menjaga kepentingan keadilan, kesejahteraan awam, keselamatan awam atau kesusilaan dan juga untuk menjaga aib pihak-pihak yang terlibat terutamanya melibatkan kanak-kanak dan kes yang mendedahkan keaiban peribadi selain bagi mengelakkan unsur membawa kepada fitnah.
Seksyen 247 Akta 585 bagi memberi Jawatankuasa Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah kuasa untuk membuat kaedah-kaedah berkaitan dengan tatacara dan amalan bagi prosiding yang dijalankan di mana-mana tempat selain Mahkamah yang ditubuhkan di bawah Seksyen 40 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 atau prosiding yang dijalankan melalui teknologi komunikasi jarak jauh.
Secara keseluruhannya usaha kerajaan memperkasa pentadbiran Islam dan perundangan Syariah menerusi RUU Pentadbiran dan RUU Tatacara Mal adalah sesuatu yang sangat signifikan dan strategik. RUU ini akan memberikan manfaat bukan sahaja kepada pengamal undang-undang, hakim dan pegawai mahkamah Syariah bahkan juga kepada masyarakat awam khususnya di Wilayah-wilayah Persekutuan dan umumnya di Malaysia.
Setelah sekian lama menunggu pindaan ini dibawa dan diluluskan di Parlimen, akhirnya Kerajaan Madani dengan penuh keazaman dan komitmen melakukannya secara berhikmah. Ini sedikit sebanyak menunjuk dan membuktikan bahawa Islam makin subur dan terus mekar di Malaysia.
________________________________________________________________________________
Penulis merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Comentários