Dua pusat data sedang dibangunkan di Negeri Sembilan - Aminuddin
- Suara Keadilan
- 4 hours ago
- 1 min read

Kerajaan Negeri Sembilan dalam proses membangunkan dua pusat data bagi memastikan negeri itu tidak ketinggalan dalam sektor teknologi itu.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembangunan itu membabitkan pusat data hijau oleh pelabur Amerika Syarikat di Nilai dan pusat data teknologi kecerdasan buatan (AI) di Springhill, Port Dickson yang bakal dibangunkan Gamuda Berhad (Bhd).
"Urusan tanah sudah selesai dan kerja tanah turut bermula.
"Faktor pemilihan Negeri Sembilan sebagai pusat data ini berikutan lokasinya yang strategik iaitu berhampiran dengan Lembah Klang yang merupakan pusat perindustrian dan perniagaan di negara ini," katanya dipetik pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin.
Mengulas lanjut Aminuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sikamat berkata, pembangunan pusat data itu dijangka akan menyumbang kepada pelbagai manfaat kepada warga tempatan.
Selain membuka peluang pekerjaan berkualiti tinggi terutama dalam bidang teknologi maklumat, kewujudkan pusat data itu juga akan meningkatkan jumlah pelaburan dan kutipan cukai negeri.
Dalam pada itu, Aminuddin turut memaklumkan pembinaan sebuah loji rawatan air dengan kapasiti 67 juta liter sehari oleh Gamuda Bhd serta diuruskan oleh Syarikat Air Negeri Sembilan.
Pembinaan loji rawatan air itu bagi memenuhi keperluan air yang tinggi sekali gus memastikan kelestarian sumber bekalan air penduduk kawasan itu sentiasa terjamin.
Comments