Dua anggota polis terbunuh, manakala seorang lagi cedera dalam serangan dilakukan seorang lelaki yang dipercayai anggota kumpulan pengganas Jemaah Islamiah (JI) menceroboh masuk Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.
Suspek dilaporkan menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata dan melepaskan sekurang-kurangnya dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut manakala seorang lagi anggota ditetak pada leher dan kepala.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata suspek berusia 21 tahun yang ditembak mati ditempat kejadian sudah membuat persiapan rapi sebelum melakukan serangan berkenaan dengan motif dipercayai bagi merampas senjata api dari balai polis berkenaan.
"Siasatan mendapati suspek telah bawa beg mengandungi 'shield' (perisai) dan kain untuk bertempur dengan polis. Kita lihat mungkin dia datang untuk dapat senjata api, ada agenda yang kita tak tahu lagi buat masa ini.
"Saya telah minta cawangan khas dapatkan semua anggota JI di Johor untuk dikenal pasti dan siasat," katanya dipetik dalam sidang akhbar di pekarangan Balai Polis Ulu Tiram hari ini.
Dalam pada itu, Razarudin yang dipetik dari media sosial PDRM merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Konstabel Ahmad Azza dan Konstabel Muhammad Syafiq Ahmad Said yang terkorban dalam serangan tersebut.
Kedua-dua mangsa merupakan anggota cegah jenayah yang baru sahaja berkhidmat dengan pasukan dua tahun lalu.
Razarudin berkata kejadian tersebut berlaku pada jam 2.30 pagi semasa dua penuntut institut pengajian tinggi (IPT) iaitu seorang lelaki dan wanita berusia 22 dan 21 tahun datang ke balai untuk membuat aduan dicabul dua tahun lalu.
Pada masa sama katanya, suspek datang ke balai tersebut dengan menunggang motosikal dengan membawa sebilah parang sebelum meletakkan motosikalnya di bahagian belakang.
Kata beliau seorang anggota polis yang menjaga di bahagian depan balai kemudian meninjau belakang balai namun ditetak suspek sebanyak tiga kali pada leher sebelum merampas pistol anggota polis berkenaan.
Menurutnya, kemudian datang seorang lagi anggota polis dan suspek menembaknya pada bahagian pipi.
"Anggota polis berkenaan maut di tempat kejadian selepas peluru tersebut tembus pada kepalanya. Dua anggota polis berkenaan yang berasal dari Kuantan, Pahang dan Bidor, Perak berusia 21 dan 22 tahun maut di tempat kejadian," katanya.
Ujarnya, anggota yang mengalami kecederaan dilaporkan stabil di Hospital Sultan Ismail (HSI).
Susulan itu katanya, pihak polis menahan tujuh individu termasuk lima ahli keluarga suspek berusia 19 sehingga 62 tahun serta lelaki dan wanita yang membuat laporan polis itu.
"Bapa suspek merupakan ahli JI di Ulu Tiram. Lelaki dan wanita yang mendakwa dicabul, kita akan siasat.
"Kalau tanya saya kes kononnya diraba, tidak logik datang jam 2 pagi," katanya.
Razarudin berkata, pihaknya sedang mengenal pasti kira-kira 20 lagi JI yang terdapat di Ulu Tiram.
Comments