Dr Zaliha doakan mangsa kebakaran saluran paip diberi ketabahan
- Suara Keadilan
- Apr 5
- 1 min read

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa meluangkan masa melawat mangsa tragedi kebakaran saluran gas yang kini sedang dirawat di Hospital Putrajaya.
Dalam lawatannya semalam, beliau diiringi Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Fadlun Mak Ujud, Dr Zaliha sebelum diberi taklimat mengenai situasi terkini mangsa yang dirawat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, Dr Nor’Aishah Abu Bakar.
Menerusi satu kenyataan ringkas dikeluarkan selepas lawatan berkenaan, Dr Zaliha dimaklumkan seramai 14 mangsa masih menerima rawatan di hospital berkenaan akibat luka terbakar dan berkaitan masalah pernafasan akibat terhidu asap.
"Saya menzahirkan rasa simpati dan mendoakan agar mangsa diberi kekuatan, ketabahan serta kesembuhan segera.
"Saya juga menyampaikan sumbangan peribadi kepada mereka, mudah-mudahan sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang mereka sedang tanggung.
"Doakan mereka yang terkesan dan benar-benar memerlukan segala bentuk sokongan dari kita," katanya dipetik.
Tragedi pada Selasa lalu itu menyaksikan api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Sebanyak 87 rumah mengalami kerosakan total dan tidak boleh didiami, manakala 148 rumah terjejas serta mengalami kerosakan tetapi boleh didiami selepas melalui proses pembaikan.
46 orang daripada keseluruhan 134 mangsa yang terlibat masih menerima rawatan di hospital dan klinik.
Seorang lelaki berumur 65 tahun dilapor menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) setelah mengalami enam peratus partial thickness burn, chemical pneumonitis dan diaphragmatic hernia.
Comments