
Lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta disaran tampil memberikan sumbangan persekolahan bagi meringankan beban keluarga yang tidak berkemampuan.
Isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, usaha seperti itu dapat mengelakkan isu keciciran pelajar disebabkan masalah kewangan selain merupakan satu pelaburan masa depan negara.
"Negara kita sedang membangunkan pelbagai pendidikan terutama AI (kecerdasan buatan) dan digital, jadi apabila kita khususkan supaya anak-anak kita terdidik dalam bidang berkenaan, (tidak rugi) jika kita melabur sekarang.
"(Dalam jangka panjang) kita ada tenaga kerja dan kemahiran supaya orang yang melabur ini dapat (manfaat) … ini situasi menang-menang kepada semua," katanya dipetik.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak itu sebelumnya hadir ke Program Kembali Ke Sekolah dan penyerahan sumbangan khas kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah-sekolah di parlimen berkenaan bagi sesi 2025.
Pada acara itu 1,000 pelajar sekolah menengah dan rendah menerima sumbangan beg daripada Yayasan MyPrihatin serta baucar pakaian bernilai RM100 oleh Amanah Iktiar Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Yayasan Gerbang Bandar Tun Razak
Selain pelajar, 23 persatuan Ibu Bapa dan Guru turut menerima sumbangan keseluruhan berjumlah RM115,000.
Sementara itu jelas Dr Wan Azizah, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim amat mementingkan pendidikan dan sangat peka serta prihatin terhadap rakyat kurang berkemampuan dengan pelbagai inisiatif dilaksanakan kerajaan memberi fokus kepada bidang pendidikan dan kebajikan sosial.
"Pendidikan tiket penting untuk mengubah kehidupan, jadi tanamkan sifat cintakan ilmu dalam diri masing-masing dan buat ibu bapa, berilah galakan dan sokongan sepenuhnya buat anak-anak untuk melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat tertinggi," katanya.
Beliau sementara itu menzahirkan kesyukuran atas kemurahan hati penyumbang untuk membantu golongan memerlukan sebagai antara usaha menjamin kebajikan dan kesejahteraan rakyat seiring agenda negara membangun Malaysia MADANI.
Comments