Mantan Timbalan Presiden KEADILAN yang kini Timbalan Pengerusi Majlis Penasihat KEADILAN, Dr Syed Husin Ali menyambut ulang tahun kelahirannya ke 85 pada 23 September 2021.
Beliau yang juga mantan Profesor Jabatan Antropologi dan Sosiologi Universiti Malaya merupakan pejuang tulen keadilan yang sanggup merengkok selama 6 tahun dalam tahanan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri pada 1974 hingga 1980 kerana memperjuangkan kemiskinan petani di Baling, Kedah.
Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyanjungi kekentalan perjuangannya dan mengharapkan agar Dr Syed Husin terus memberi pandangan dalam isu-isu rakyat yang sebati dengan dirinya.
"Saya ucap selamat ulangtahun kelahiran kepada saudara Syed Husin Ali yang merupakan sahabat karib saya sejak puluhan tahun dan pejuang rakyat yang konsisten menyikapi isu-isu rakyat dan negara.
"Semoga panjang umur dan terus gigih membela nasib rakyat terbanyak," kata Anwar dalam ucapan hari ulang tahun Dr Syed Husin.
Manakala rakan seperjuangan beliau, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim mengirim sebuah puisi untuk didedikasikan lewat perjuangan panjang beliau dalam penuh kesederhanaan, sama ada bergelar pensyarah, profesor mahu pun Senator Dewan Negara dari 2009 hingga 2015.
ORANG BERCAPAL
(untuk Saudara Syed Husin Ali)
Perlukah aku memberitahu ini semua?
Di hadapan kawan-kawannya
Didengar sendiri oleh telinganya
Siapa dia ini?
Dia sahabatku
Orang bercapal
Kakinya sentiasa rapat menyentuh bumi
Sedang akal budinya
Berada di horizon tinggi
Orang bercapal ini
Sentiasa bersahaja
Hidupnya tidak pura-pura
Dia menjalani hidup seada-adanya
Aku menjadi saksi
Orang bercapal ini keras pendiriannya
Sekeras permata intan bisa membelah kaca
Dia buat
Apa yang diucapnya
Ini membikin orang semua percaya cakapnya
Aku hanya mendengar cerita
Dia membela petani-petani tidak bertanah
Dia menjadi sahabat kepada Hamid Tuah
Kemudian aku lihat di depan mata
Dia jadi jurubicara rakyat jelata
Orang bercapal ini, seorang pemikir
Tempatnya di Menara Gading
Dia bersuara untuk petani miskin di bumi Baling
Kerana itu enam tahun lamanya
Dia dipenjara tanpa bicara
Merengkok dicengkam ISA yang zalim
Kali pertama aku nampak dia
Aku mendengar syarahannya
Empat puluh lima tahun yang lalu
Di Fakulti Sastera di Universiti Malaya
Dalam satu forum ilmu
Di permulaan Era Dasar Ekonomi Baru
Kata-kata Orang bercapal ini
Masih terdengar ditelingaku
Apa katanya?
Menyusun masyarakat
Tidak semudah
Menyusun batu bata
Banyak perjalanan hidupku
Aku sempat bersama Orang bercapal ini
Satu ketika
Kami ke Kota Misrata, Libya
Yang tandus gersang
Bersolidariti bersama Muammar Ghadafi
Yang nyaris mati, cuba dibunuh
Si Ronald Reagen, Presiden Amerika yang gila
Aku dan Orang Bercapal ini pernah kembara
Sampai ke bumi Australia
Kami warga dunia
bersatu dalam persaudaraan internasional semesta
kali ini kami bersolidariti
bersama rakyat Timor Timur dan rakyat Indonesia
meruntuhkan kuasa seorang diktator
bernama Suharto
Kemudian kami turun padang, masuk gelanggang
Di tanahair sendiri, kami menyertai gelombang reformasi
berjaya meleburkan belenggu kukubesi seorang Perdana Menteri
Akhirnya, kurakamkan di sini
Suatu waktu dulu, kisah benar berlaku
Ya, aku masih muda waktu itu
Menjalani kehidupan sepenuhnya
Ibarat kembara jalanan
Pernah aku sampai ke Tanah Inggeris secara sendirian
Kucari si pengarang Das Kapital
Di British Museum sana
Tetapi tidak kejumpaan
Sebaliknya kutemui Karl Marx di pusaranya
Yang sepi, kaku, kesunyian
Waktu itu Tembok Berlin
Masih belum runtuh lagi
Kemudian aku kembali
Kembara lagi
Kali ini, dia sahabtku, Orang bercapal ini
Menemani aku sekali lagi
Kami ke Tanah Suci Mekah.
Kami ke Baitullah
Kami tawaf mengeliling Kaabah
Kami tunaikan ibadat Umrah
Kami ziarah ke Pusara Rasullullah di Madina
Akhirnya aku menemui diriku kembali
Orang bercapal inilah yang menunjukkan aku jalan pulang
Pertama kali sajak ini dibacakan pada 11 Februari 2017 di Majlis Penghargaan untuk Profesor Dr. Syed Husin Ali pada ulangtahun beliau ke - 80 di Hotel Empire, Subang, Petaling Jaya, anjuran KEADILAN.
Comments