top of page

DPIM bimbang penggabungan tiga bank jejas tumpuan kepada PMKS



Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) melontarkan kebimbangan terhadap cadangan kerajaan untuk menggabungkan tiga institusi kewangan pembangunan utama negara, iaitu Bank Pembangunan Malaysia Berhad, SME Bank dan Exim Bank sebagai satu entiti yang dijangka akan memberi kesan besar kepada sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).


Menurut Presiden DPIM, Datuk Mohammad Sahar Mat Din, penggabungan itu mungkin menyukarkan PMKS pada masa hadapan memperolehi lebih banyak akses kepada pembiayaan yang bersesuaian dan menyeluruh.


Katanya, setiap institusi yang terlibat dalam cadangan penggabungan itu pada waktu ini mempunyai mandat yang berbeza dan fokus yang khusus kepada segmen tertentu dalam ekonomi negara.


"Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) berperanan penting dalam menyediakan pembiayaan bagi projek-projek berskala besar yang memacu pembangunan infrastruktur dan industri-industri utama negara.


"Exim Bank pula, memberi tumpuan kepada perusahaan sederhana dan besar yang terlibat dalam aktiviti perdagangan antarabangsa, termasuk eksport dan import. Manakala, SME Bank mempunyai mandat khusus untuk membangunkan dan memupuk pertumbuhan serta daya saing PMKS, yang merupakan komponen penting dalam ekosistem ekonomi Malaysia," kata Mohammad Sahar dalam kenyataan.


Katanya penggabungan tersebut sekiranya berlaku berpotensi untuk mencairkan tumpuan kepada sektor PMKS berikutan penggabungan fungsi dan mandat ketiga-tiga institusi. Hal itu, katanya mungkin akan menyebabkan penekanan yang lebih besar diberikan kepada projek skala besar dan perdagangan antarabangsa, bukannya perusahaan kecil yang lebih memerlukan sokongan khusus


"SME Bank, misalnya, telah memainkan peranan penting dalam menyediakan pembiayaan yang disesuaikan dengan keperluan PMKS, terutamanya usahawan kecil dan mikro.


"Dengan mandat yang begitu khusus, SME Bank memahami keperluan unik sektor ini dan dapat memberikan pembiayaan dan sokongan yang tepat pada masanya," katanya.


DPIM juga, kata Mohammad Sahar, bimbang bahawa SME Bank yang kini mempunyai peranan eksklusif untuk menyokong sektor PMKS akan hilang fokus apabila digabung dengan institusi yang lebih besar seperti BPMB dan Exim Bank yang

mempunyai sasaran pelanggan yang berstatus lebih besar.


Hal itu boleh mengakibatkan kekurangan perkhidmatan yang direka khas untuk PMKS, terutamanya dalam bidang pembangunan kapasiti, nasihat perniagaan, dan bantuan kewangan yang bersifat inklusif.


Jelasnya, hari ini PMKS memainkan peranan yang sangat penting dalam ekonomi Malaysia kerana menyumbang lebih daripada 38% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menyediakan hampir 50% daripada jumlah pekerjaan.


Oleh itu, sebarang pengurangan dalam sokongan kepada sektor PMKS akan memberi kesan langsung kepada pertumbuhan ekonomi negara secara keseluruhan.


"DPIM menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan penggabungan ini dengan lebih mendalam dan mempertimbangkan pendekatan yang lebih seimbang dan strategik bagi memastikan sokongan kewangan kepada semua segmen perniagaan – termasuk projek berskala besar, perdagangan antarabangsa, dan yang paling penting, PMKS.


"Sebagai alternatif, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk mengekalkan peranan dan mandat khas SME Bank dalam menyokong PMKS, sambil memperkukuhkan kerjasama dengan BPMB dan Exim Bank dalam aspek-aspek yang lebih sesuai.


"DPIM juga menyarankan supaya satu sesi libat urus yang meluas dijalankan dengan pihak berkepentingan, termasuk wakil-wakil PMKS, sebelum sebarang keputusan muktamad mengenai penggabungan ini dibuat," katanya.


Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan akan mengambil pendekatan yang berhati-hati dan inklusif dalam menangani isu terbabit.


Tegasnya, penggabungan institusi kewangan pembangunan adalah langkah yang besar dan memerlukan perancangan serta pelaksanaan yang teliti agar tidak meminggirkan sektor-sektor yang memerlukan perhatian dan sokongan khusus, terutamanya PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page