Oleh: Akmal manaf
Gencatan senjata Israel-Hamas yang dipersetujui mula dikuat kuasakan pada Ahad ini seharusnya berpanjangan dan mampu bergerak ke arah rundingan damai yang lebih bermakna kepada rakyat Palestin.
Sehubungan itu, Pengerusi Biro Antarabangsa AMANAH, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah menyeru masyarakat untuk berdoa agar gencatan senjata itu akan kekal demi menyelamatkan rakyat Gaza terutama kemudahan untuk menyalurkan bantuan perubatan dan membina semula kediaman.
Beliau menyifatkan, perjalanan dan ranjau yang mesti dilalui rakyat Palestin masih jauh dan perlu sentiasa berwaspada dengan tipu helah musuh musuh Islam yang ingin melalaikan dan memecahbelahkan umat.
Katanya, meskipun Palestin kecil namun ia sangat bermakna dan berupaya menyatukan umat Islam di dunia dalam menghadapi kekejaman Israel dan negara Barat.
''Apa jua janji-janji manis dan palsu negara Barat untuk melalaikan umat Islam sedunia, sudah cukup bukti pahit lepas, yang nyata sikap penjajah dan kemunafikan mereka selama ini.
''Kita berharap penderitaan genosid kejam di Gaza telah membuka mata terutamanya rakyat dan kerajaan negara-negara Barat dan juga Arab tertentu mengenai sikap hipokrit kerajaan mereka yang tidak bertindak seperti sepatutnya.
''Sebenarnya Amerika sudah lama boleh menghentikan penderitaan di Gaza jika mereka menghentikan bekalan senjata dan bom kepada Israel,'' katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, Raja Kamarul berkata, pengumuman gencatan senjata dan 'tamat perang' di Gaza telah disambut dengan kegembiraan dan sikap 'skeptikal' oleh dunia.
Gencataan senjata itu katanya, hanyalah sementara bagi Israel dan persoalannya adalah untuk siapa dan mengapa pengumuman itu dibuat.
''Presiden Biden dan Donald Trump mengakui kejayaan gencatan tersebut adalah hasil usaha peribadi mereka.
''Sewaktu pengumuman itu dibuat beberapa hari sebelum Trump mengambil alih tempat Biden sebagai Presiden Amerika, menunjukkan motif politik semata-mata.. jelas kelihatan kedua dua pihak untuk meraih populariti.
''Dalam ucapannya, Biden menyatakan kejayaan gencatan senjata itu akan mengakhiri 'penderitaan panjang rakyat Gaza yang telah mengalami neraka di dunia yang dahsyat.
''Siapakah yang membolehkan neraka di dunia ini berlaku dengan membekalkan bom serta senjata canggih selama 15 bulan kepada Israel kalau bukan Biden dan Amerika?'' tempelak beliau lagi.
Menurut Raja Kamarul, Trump pula mengugut dengan menjanjikan 'all hell will break loose', neraka akan berlaku jika pihak berkenaan tidak menepati kehendak Amerika di Gaza.
''Kedua-dua Presiden Amerika itu berlagak seolah-olah mereka Tuhan di dunia dengan menjanjikan neraka kepada sesiapa yang ingkar dengan kehendak mereka.
''Kepada Allah kita terus berdoa dan berserah untuk bumi Palestin dan kejayaan umat Islam sedunia, Insya-Allah,'' ujarnya lagi.
Comments