Oleh: Noraini Nordin
Isu pengendalian Program Dwi Bahasa (DLP) tidak sepatutnya menjadi medan bagi ahli-ahli politik khususnya dari blok kerajaan untuk terus bercakaran.
Setiausaha Politik Menteri Pendidikan, ‘Atiqah Syairah Shaharudin berkata, hal itu kerana panduan telah ditetapkan pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Surat Pekeliling Iktisas Kementerian Pendidikan Malaysia Bil 3 sejak Tahun 2020 lagi.
Menurut beliau, perlaksanaan DLP yang menjadi polemik sekarang adalah merupakan sebahagian daripada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang menjadi hasrat kerajaan sejak dulu lagi.
"Bahkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek telah menggunakan platform Dewan Rakyat untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan mengenai DLP.
"Dalam hal ini, Pengerusi DAP Lim Guan Eng adalah disarankan supaya tidak lagi terimbau dek pentadbiran Muhyiddin Yassin yang telah memansuhkan PPSMI (Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris) pada zamannya.
"Kita tidak harus membuka ruang kepada sentimen 3R dalam isu berkaitan pendidikan," ujar beliau.
Sehubungan itu, ‘Atiqah Syairah mengucapkan sekalung penghargaan kepada Buletin Utama TV3 yang telah menarik balik laporan berkaitan isu pengajaran subjek Sains dan Matematik yang diajar dalam Bahasa Melayu di beberapa sekolah di Pulau Pinang, baru-baru ini.
Katanya, kita perlu sentiasa berhati-hati dalam memainkan sentimen bahasa dan kaum yang sentiasa menjadi ejen provokasi untuk ditunggang oleh Bersatu dan Pas untuk menakutkan rakyat dan memburukkan Kerajaan Perpaduan.
Tegas beliau, Kementerian Pendidikan secara berterusan memberi ruang untuk semua pihak melalui pertemuan bersama dengan Lembaga Pengurusan Sekolah (LPS) Sekolah Cina Pulau Pinang untuk memberikan penerangan dan menerima maklum balas mengenai DLP.
"Oleh itu, ia tidak harus menjadi medan politik dan untuk dipolitikkan," tambahnya.
Seterusnya, ‘Atiqah Syairah menyarankan semua pihak agar tidak terperangkap dalam permainan sentimen cetek pembangkang yang hanya ingin mempertahankan kedudukan politik masing-masing dan lupa akan usaha bersama yang mesti kita pikul untuk membina negara.
"Anak-anak kita berhak untuk mewarisi dasar pendidikan yang stabil dan lestari demi kesejahteraan masa depan mereka serta Malaysia yang makmur dan harmoni," tegas beliau.
Comments