
Dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tahun 2024 sebanyak 6.3% bagi Simpanan Konvensional dan Simpanan Syariah yang diumumkan hari ini telah melebihi jangkaan penganalisis pasaran sebelum ini yang menganggarkan kadarnya sekitar 6.2 peratus.
Bagi Ketua Penerangan Pemuda Angkatan Muda Harapan (HARAPAN), Ammar Atan, dividen kali ini dengan jelas menggambarkan kedudukan ekonomi negara yang cemerlang di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan.
Lebih membanggakan, katanya, buat pertama kali kadar dividen Simpanan Syariah adalah setanding dengan Simpanan Konvensional.
"Ini membuktikan di bawah kepimpinan Kerajaan MADANI, ekonomi Islam terus dimartabatkan dengan pulangan yang adil dan mampan untuk semua pencarum," kata Ammar dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ammar, kenaikan kadar dividen itu juga dengan sendirinya menutup mulut Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong dan Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang sebelum ini mengkritik kononnya KWSP berada dalam keadaan kurang baik dalam pelaburan dan mungkin akan memberi kadar dividen rendah.
Justeru beliau berkata, adakah Ka Siong atau Wan Faizal akan menarik balik kenyataan mereka selepas pengumuman kadar dividen tersebut.
"Saya mendesak Wee Ka Siong dan Wan Ahmad Fayhsal menarik balik dakwaan mereka serta memohon maaf kepada rakyat Malaysia dan KWSP.
"Rakyat berhak menerima fakta yang benar, bukan manipulasi politik yang hanya mahu mencipta persepsi negatif terhadap kerajaan.
"Kerajaan MADANI komited memastikan KWSP terus diurus dengan baik, mampan, dan memberikan pulangan terbaik kepada pencarum," katanya lagi.
Oleh itu, Ammar berkata, rakyat perlu menolak ahli politik yang hanya tahu menabur tohmahan tetapi gagal membawa penyelesaian untuk masa depan negara.
Comments