Oleh: Akmal Manaf
Dakwaan kononnya Parti Amanah Negara ditaja oleh DAP oleh pemimpin Pas Kedah mendapat respons segera AMANAH Wilayah Persekutuan.
Pengarah Komunikasi AMANAH Wilayah Persekutuan, Mejar (B) Razali Zakaria berkata dakwaan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor itu merupakan satu tohmahan jahat yang boleh menyebabkan rakyat memandang serong ke atas parti berkenaan.
Beliau berkata, dakwaan itu mungkin sengaja dilemparkan bagi melemahkan AMANAH kerana pemimpin Pas tahu parti mereka sedang berada dalam keadaan paling lemah pada ketika ini.
"Masa ceramah tersebut (waktu dakwaan dibuat), Sanusi telah membuat fitnah menyatakan bahawa AMANAH telah ditaja oleh DAP.
"Ini adalah satu fitnah yang jahat kerana Pas sekarang sudah tahu mereka tidak dipercayai oleh rakyat Malaysia.
"Semakin hari, semakin ramai rakyat sedar bahawa Pas ini penipu dan pemfitnah. Mereka (Pas) sekarang terancam dan tidak boleh dipercayai lagi.
"Ramai ahli mereka keluar parti. Apabila keluar, mereka nampak AMANAH ini lebih progresif dan dinamik berbanding Pas yang ekstrim agama, budaya dan bangsa," katanya ketika ditemui pemberita di luar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Laporan polis hari ini dibuat oleh Biro Mobilisasi dan Komunikasi AMANAH Wilayah terhadap Muhammad Sanusi yang juga Pengarah Pilihanraya Pas.
Dalam pada itu, Razali menyifatkan Pas juga sudah terdesak dan akan menggunakan isu agama serta bangsa bagi menentang pihak lawan.
Pada 31 Januari lalu, 'panglima perang' Pas itu dilaporkan mendakwa AMANAH ditaja oleh DAP pada 2015 kononnya sebagai rancangan jangka panjang untuk melemahkan Pas.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia di Kompleks Pas Kedah.
コメント