Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan memberikan potongan sebanyak 50 peratus bagi bayaran tol sempena perayaan Tahun Baharu Cina tidak lama lagi.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, diskaun itu akan dilaksanakan bermula pada jam 12.01 tengah malam 27 Januari 2025 (Isnin) dan akan berakhir pada Jam 11.59 malam 28 Januari 2025 (Selasa) bagi kenderaan persendirian Kelas 1 sahaja di semua plaza tol.
Namun katanya, tiada potongan kadar tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
''Pemberian diskaun itu merupakan kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang sebelum ini diberikan Kerajaan MADANI bagi keempat-empat musim perayaan utama di Semenanjung sejak 2023.
''Implikasi kewangan yang ditanggung kerajaan bagi membayar balik pampasan kepada syarikat konsesi tol yang terlibat dianggarkan berjumlah RM20.08 juta.
''Sebagai pampasan bagi pelaksanaan bantuan Tol Percuma Musim Perayaan dari 2023 hingga 2024, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM356.18 juta.
''Pengumuman saya sebelum ini berkenaan pemberian tol percuma perayaan yang sepatutnya berakhir pada perayaan Krismas 2024 adalah berdasarkan keputusan Mesyuarat Kabinet pada 20 Disember 2024.
''Bagaimanapun, Mesyuarat Jemaah Menteri pada hari ini bersetuju memberikan diskaun tol 50 peratus sempena perayaan Tahun Baharu Cina 2025,'' katanya dalam satu kenyataan.
Ahli Parlimen Kapit itu menambah, pemberian diskaun itu adalah selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat.
"(Diskaun tol) selaras dengan agenda Kerajaan MADANI dalam menjaga perpaduan dan kesejahteraan rakyat yang didukung oleh kedudukan kewangan Kerajaan yang kukuh hasil dari program rasionalisasi subsidi serta peningkatan pelaburan dan perdagangan," katanya.
Justeru, beliau berharap semua pengguna lebuh raya dapat memanfaatkan pengurangan kadar tol itu dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya bagi mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa cuti panjang.
Sebelum ini, kerajaan mengambil keputusan menghentikan pemberian tol percuma sempena dengan musim perayaan sebagaimana yang dilaksanakan sebelum ini.
Keputusan diambil kerajaan hari ini mengambil kira kedudukan kewangan yang semakin baik hasil penyasaran subsidi elektrik, diesel, dan kejayaan membawa banyak pelaburan baharu dari negara luar (RM329.5 bilion - tertinggi dalam sejarah negara pada 2023) dan kenaikan nilai perdagangan RM2.879 trilion yang merupakan rekod perdagangan tertinggi pada 2024.
תגובות