
Bagi meringankan beban orang ramai untuk pulang ke kampung untuk menyambut Aidilfitri, kerajaan bersetuju memberikan potongan kadar tol sebanyak 50 peratus, demikian kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexandar Nanta Linggi.
Beliau memberitahu diskaun tol musim perayaan itu akan berkuat kuasa pada pukul 12.01 tengah malam 28 Mac (Jumaat) hingga 11.59 malam, 29 Mac ini (Sabtu) dengan kos perlu ditanggung kerajaan sebanyak RM19.69 juta dalam bentuk pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya.
"Diskaun tol ini akan hanya diberikan kepada kenderaan persendirian Kelas 1 di semua plaza tol kecuali plaza tol sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (LINKEDUA).
"Pemberian diskaun tol ini adalah kesinambungan kepada bantuan tol musim perayaan yang diberikan oleh kerajaan bagi keempat-empat perayaan utama di negara ini sejak 2023," katanya selepas mengadakan tinjauan ke syarikat konsesi penyelenggaraan Jalan Persekutuan di Pejabat Operasi Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, Air Keroh, Melaka hari ini.
Alexander berkata, semua pengguna lebuh raya diharapkan memanfaatkan diskaun tol itu dengan sebaiknya serta merancang perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di lebuh raya pada cuti panjang musim perayaan ini.
Beliau turut menasihatkan pengguna lebuh raya meneliti beberapa panduan pergerakan sebelum memulakan perjalanan.
"Panduan itu termasuklah mengikut jadual waktu perjalanan oleh syarikat konsesi lebuh raya, memastikan kenderaan dalam keadaan baik, memastikan baki e-dompet dan Kad Touch & Go selain bateri smart-tag mencukupi, menggunakan pautan paparan CCTV Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) mengenai keadaan lebuh raya sebagai panduan sebelum dan semasa perjalanan," katanya.
Bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan trafik dan bantuan semasa di lebuh raya, orang ramai boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 atau menyemak status trafik atau sebarang insiden di lebuh raya yang akan dikemas kini melalui media sosial rasmi LLM.
コメント