Oleh: Andre Lai
ULASAN PIMPINAN: Saya masih ingat zaman sebelum adanya RapidKL pada 1980an dan 1990an. Di tempat saya tinggal di Ampang, hanya ada bas mini dan syarikat bas Len Chee. Masa itu penduduk setempat bergantung kepada sistem pengangkutan awam. Laluan bas meliputi hampir kesemua kawasan dan perjalanan agak tepat pada masa.
Tidak ada proses elektronik, hanya tenaga pekerja manual konduktor bas menjual tiket. Pada masa itu, sistem pengangkutan bas sebelum adanya LRT begitu efektif – dengan menaiki bas anda boleh ke mana-mana dengan tambang yang amat murah. Tetapi hari ini, walaupun terdapatnya banyak pilihan pengangkutan awam, namun pengguna tetap memilih kenderaan persendirian untuk ke mana-mana.
Pagi tadi (semalam), warga kota dikejutkan dengan notis RapidKL mengatakan stesen LRT ditutup pada saat-saat terakhir, menyebabkan ramai pengguna terpaksa mencari jalan penyelesaian untuk ke destinasi masing-masing. Semestinya ramai pekerja lambat ke pejabat, dan ramai pelajar sekolah hampir terlepas ke sekolah tepat pada masanya.
Saya pasti ia bukan sesuatu yang berlaku secara spontan, apabila 16 stesen terpaksa ditutup untuk membuat penyelenggaraan yang besar. Walaupun RapidKL menyediakan bas pengantara untuk ke stesen terdekat, tetapi masih terdapat rungutan dalam media sosial menunggu bas amat lama.
Menurut kenyataan rasmi RapidKL pada 8 November 2022, “Atas faktor keselamatan, perkhidmatan di antara kedua-dua stesen tersebut terpaksa diberhentikan apabila gangguan pada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) Laluan Kelana Jaya mula dikesan pada jam 3.03 petang ini.”
16 stesen LRT ditutup
Sebanyak 16 stesen terpaksa ditutup sehingga 15 November 2022. Persoalannya adalah, sebagai sebuah operator pengangkutan awam yang memonopoli sistem pengangkutan LRT/MRT, tidakkah ada usaha pemantauan berterusan untuk mengurangkan risiko penyelenggaraan seperti 9 November 2022. Sudah pastinya ada komponen sedia ada dan consultan yang boleh bersiap sedia menghadapi kecemasan sebegini. Tetapi di mana silapnya?
Andaikan, ia adalah satu isu teknikal yang luar biasa dan jarang berlaku, meskipun perkara ini juga mencerminkan kekurangan inisiatif kerajaan Malaysia mengendalikan sistem pengangkutan awam. Lihat 2 dekad kebelakangan ini, kerajaan Malaysia telah mencurahkan banyak masa, wang dan pelaburan untuk menambahbaik sistem pengangkutan yang lebih baik.
Dari sistem LRT, bas Rapid, Monorail dan kini MRT pasti sesuatu yang boleh menambahbaik imej Kuala Lumpur sebagai satu kosmopolitan moden. Sistem kereta api telah menembusi horizon langit, dan hab transit muncul di kiri dan kanan di seluruh negara. Tetapi rakyat Malaysia masih tidak mempercayai pengangkutan awam sekarang. Bahkan Prasarana juga terpalit dengan kontroversi trek keretapi berlanggar pada 2021 dalam insiden ‘kiss-kiss’, sebagaimana dikias oleh Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, bekas pengerusi Prasarana.
Sistem bersepadu pengangkutan awam
Mungkin tidak adil untuk membandingkan sistem keretapi-dalam-bandar di Malaysia dengan negara lain. Sistem LRT bermula di Malaysia pada 1996, dengan laluan Ampang ke Sri Petaling melalui pusat bandaraya. Di Hong Kong pula, sistem MTR bermula sedekad lebih awal. Namun apabila melihat kecekapan sistem pengangkutan di Hong Kong, anda boleh melihat setiap 5 minit pastinya ada bas awam dan sekurang-kurangnya bas pengantara ke stesen MTR melalui sistem pembayaran bersepadu.
Piawaian masalah pengangkutan awam telah menjadi bualan rakyat Malaysia sekian lamanya. Antara sebab adanya isu pengangkutan awam utama Malaysia adalah kekurangan liputan laluan dan penempatan hab keretapi yang jauh. Selalunya, hab ini terletak terlalu jauh dari rumah individu untuk orang ramai pergi dengan mudah. Walaupun adanya perkhidmatan ‘feeder bus’, namun banyak rungutan yang bas pengantara tidak pernah cukup dan tepat pada masanya, terutama di waktu pagi.
Kekadang, untuk menjimatkan masa, pengguna terpaksa menggunakan perkhidmatan teksi/e-hailing atau memandu ke tempat letak kereta awam untuk menaiki pengangkutan awam. Tujuan untuk mengurangkan ‘carbon footprint’ tidak dapat dicapai. Ya, saya hanya boleh memberi hujah dan bukannya jalan penyelesaian. Tetapi yang lebih membimbangkan adalah keengganan Menteri Pengangkutan sebelum ini untuk memahami masalah pengangkutan awam, sebaliknya melatah dan menyalahkan kepada pesaing politik di dalam Parlimen.
Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, terdapat kelulusan banyak projek lebuhraya antara bandar yang menggalakkan penggunaan kenderaan persendirian justeru meningkatkan keuntungan syarikat konsesi (dan pemegang kepentingan mereka). Semua konsesi, diluluskan oleh mantan Menteri-menteri Pengangkutan bukan dari kerajaan Pakatan HARAPAN.
Kos pengangkutan tinggi
Satu lagi isu yang dihadapi pengguna adalah kos pengangkutan yang tinggi. Kelemahan pengangkutan awam di Malaysia bukanlah kerana ia terlalu mahal dengan satu-satu tiket keretapi. Tidak – ia hanya menjadi isu apabila kita melihat gambaran keseluruhan. Apabila stesen diletakkan terlalu jauh, kita memerlukan bas pengantara untuk mengatasi masalah jarak jauh.
Tetapi apabila bas pengantara tidak boleh dipercayai, alternatif sama ada menggunakan kereta persendirian atau menggunakan teksi/ehailing – yang pada akhirnya meningkatkan kos bulanan untuk pengangkutan. Sekurang-kurangya, di zaman pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan 2018 – 2020, kerajaan Malaysia pernah melancarkan pas My100 untuk menggalakkan warga kota untuk menggunakan pengangkutan awam. Yang kemudiannya disambung oleh kerajaan dibawah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri.
Buat masa sekarang, jumlah pengguna pengangkutan awam tidak ideal seperti yang dijangka. Warga kota dijanjikan liputan sepenuh kawasan dengan implementasi MRT 3, tetapi ia hanya boleh direalisasi pada 2030. Kerajaan sebelum ini langsung tidak memberi fokus kepada pengangkutan awam, melainkan meneruskan subsidi kepada pengguna pas pengangkutan bulanan seperti yang dibentangkan dalam belanjawan 2023 (sebelum pembubaran Parlimen)
Jelas sekali bahawa keadaan semasa perkhidmatan pengangkutan awam di Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk diperbaiki. Tetapi jika rakyat Malaysia benar-benar mahu menerima pengangkutan awam untuk mengurangkan kesesakan dan membantu mereka yang tidak mempunyai kenderaan persendirian, kita memerlukan lebih banyak daripada sekadar melaksanakan sistem pengangkutan di seluruh negara. Kita memerlukan perubahan kepada infrastruktur, pemahaman tentang gambaran keseluruhan, dan iltizam sebenar untuk menyelesaikan masalah pengangkutan awam.
Walaupun isu pengangkutan awam tidak banyak dikemukakan dalam manifesto HARAPAN dalam PRU15, tetapi tempoh 2018-2020, rakyat boleh melihat penetapan dasar pengangkutan awam di bawah kerajaan PH. Percayalah, agenda reformasi menjadi asas Malaysia yang lebih baik sekiranya rakyat Malaysia membuat keputusan yang bijak pada 19 November ini.
Kita pernah melakukan dan Kita BOLEH … untuk memenangi HARAPAN sekali lagi!
_______________________________________________________________________________
Penulis merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan dan Ketua Cabang KEADILAN Wangsa Maju
Comments