Harga runcit petrol RON97 dan diesel di Semenanjung turun lagi sebanyak 6 sen kepada masing-masing RM3.19 seliter dan RM2.95 seliter bagi tempoh 19 hingga 25 September ini.
Kementerian Kewangan dalam kenyataan berkata pengurangan harga runcit itu seiring dengan penurunan harga pasaran minyak mentah dunia dan pengukuhan ringgit.
Harga runcit diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan pula kekal pada paras RM2.15 seliter manakala harga runcit petrol RON95 kekal pada harga RM2.05 seliter.
Penetapan harga itu ditetapkan berdasarkan harga runcit produk petroleum secara mingguan dengan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik.
"Sejak 8 Ogos lepas hingga kini, kerajaan telah menurunkan sebanyak 40 sen seliter harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia manakala harga runcit petrol RON97 turun sebanyak 28 sen.
"Kerajaan akan terus memantau perkembangan pasaran dan menyelaras harga runcit produk petroleum dengan mengambil kira pergerakan harga pasaran minyak global dan juga menyokong kestabilan harga bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara," menurut kenyataan itu.
Comments