
Generasi muda perlu dibimbing agar mampu menilai maklumat dengan bijak bagi mengelakkan mereka terpengaruh dengan berita palsu.
Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pada era kemajuan teknologi digital yang semakin kompleks, ia turut membawa pelbagai cabaran yang perlu ditangani dengan bijak.
Sehubungan itu ibu bapa dan penjaga digesa memainkan peranan lebih aktif mendidik anak-anak agar dapat membezakan antara maklumat yang benar dan palsu, terutama dalam era digital .
"Kita semua perlu menyemak setiap maklumat yang diterima, bukan percaya bulat-bulat. Kita harus mendidik anak-anak supaya dapat membezakan yang baik dan buruk," katanya dipetik.
Dr Wan Azizah yang juga Presiden Persatuan Pandu Puteri Malaysia sebelumnya berucap pada Hari Peringatan Kebangsaan 2025 bagi gerakan Pandu Puteri dan Pengakap Puteri di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Gambang pada Ahad.
Acara itu dirasmikan oleh Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, yang juga Yang Dipertua Persatuan Pandu Puteri Cawangan Pahang.
Sementara itu dalam ucapannya, Dr Wan Azizah turut menegaskan kepentingan memelihara nilai-nilai ketimuran dan adab susila sebagai rakyat Malaysia.
"Didiklah diri kita dan anak-anak untuk mengamalkan nilai-nilai ketimuran serta adab susila, sama ada dalam kehidupan harian mahupun di media sosial," tambahnya.
Comments