
Rang Undang-Undang Perkhidmatan Bomba (Pindaan) 2025 diluluskan di Dewan Rakyat pada Rabu selepas dibahas 19 ahli Parlimen.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata, pindaan tersebut bertujuan memperkemaskan peruntukkan-peruntukkan lama agar Akta 341 lebih relevan dengan peredaran zaman.
Fokus utama pindaan akta tersebut adalah bagi mengatasi isu dan cabaran berkaitan pengurusan dan pengawalseliaan bagi Pasukan Bomba Sukarela (PBS), perunding keselamatan kebakaran dan firma perunding keselamatan kebakaran, orang kompeten dan kontraktor keselamatan kebakaran, kelengkapan menentang kebakaran atau pepasangan keselamatan kebakaran, penyedia latihan dan pengajar serta pasukan bomba persendirian.
"Pindaan Akta 341 ini penting bagi membolehkan JBPM terus berkembang sejajar dengan hasrat Kerajaan dalam usaha merakyatkan perkhidmatan kebombaan dan memastikan keselamatan rakyat sentiasa terjamin," katanya dipetik ketika menggulung perbahasan RUU itu semalam.
Kor Ming sementara itu turut menjelaskan, pindaan tersebut akan membolehkan PBS menerima akses kepada sumber dan kepakaran Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk kerjasama dalam operasi khas dan latihan lanjutan.
"Kerajaan MADANI akan terus berusaha untuk memberikan, menambahkan kebajikan dan pengiktirafan motivasi kepada semua bomba sukarelawan yang berdaftar dengan JBPM," katanya
Pindaan juga antara lain termasuk memperuntukkan satu seksyen baharu bagi mengelakkan imej JBPM disalahgunakan oleh individu tidak bertanggungjawab melalui kegiatan penyamaran sebagai pegawai bomba bagi tujuan penipuan (scammer).
"Fasal 14 kita masukkan seksyen baharu iaitu 50a ke dalam Akta 341 bagi kesalahan penyamaran sebagai pegawai bomba, pegawai bomba bantuan dan pegawai bomba sukarela.
"Pindaan juga melibatkan Seksyen 53 untuk mengadakan peruntukan bagi kesalahan memakai apa-apa pakaian seragam atau apa-apa pakaian yang mempunyai tanda khas JBPM tanpa kebenaran Ketua Pengarah oleh mana-mana orang yang bukan pegawai bomba sukarela," kata ketika membentangkan RUU berkenaan untuk bacaan kali kedua.
Comments