
Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 diluluskan di Dewan Rakyat pada Khamis.
RUU itu yang akan memberi peluang kepada pengembangan pelaburan dan ekonomi negara dalam sektor karbon diluluskan sebulat suara selepas bacaan kali ketiga oleh Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli.
Semasa menggulung RUU itu, Rafizi berkata Malaysia boleh menggunakan bekas lapangan minyak sedia ada dengan bijak untuk mencipta industri baharu seperti CCUS.
"Contohnya, ada banyak lapangan minyak yang tidak lagi diusahakan dan kita boleh menggunakan teknologi untuk menyuntik semula gas ke dalamnya.
"Ini akan memberikan keuntungan kepada kerajaan, mengukuhkan ekonomi negara, dan mencipta peluang pekerjaan serta merancakkan ekonomi untuk rakyat," katanya dipetik.
Teknologi CCUS di antara kaedah mitigasi penting dalam mengurangkan pelepasan CO2 dan dapat membantu negara mencapai objektif Perjanjian Paris.
Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) yang dilancarkan pada Julai 2023 mengiktiraf CCUS sebagai salah satu bidang tumpuan dan pemangkin inisiatif peralihan tenaga yang membuka peluang ekonomi dan mengurangkan jejak karbon secara mampan.
Sementara itu menurut Rafizi, dengan adanya hab CCUS, ia akan dapat memanjangkan potensi negeri di persisiran pantai timur terutamanya Kertih dengan menarik kemasukan industri berat seperti besi berikutan keperluan industri itu untuk memerangkap dan menyimpan karbon.
Selain itu kerajaan juga tidak akan mengeluarkan perbelanjaan untuk fasiliti CCUS.
"(Ini kerana) kerajaan telah mula mempertimbangkan cukai karbon untuk industri berat seperti besi dalam masa terdekat. Bila ada cukai karbon, maka akan ada syarikat atau individu yang membayar untuk menyimpan karbon.
"Sebagai contoh, jika cukai karbon sebanyak AS$50 dolar bagi satu tan, maka pilihannya adalah mereka bayar cukai karbon atau bayar harga sama untuk membayar menyimpan karbon. Ini membuka peluang perniagaan yang baik, dan maka akan ada pelabur yang membina keseluruhan infrastruktur CCUS," katanya.
Comments