Perjalanan persidangan Dewan Rakyat akan dilaksanakan secara lebih tegas dengan tidak membenarkan sebarang tindakan ‘mainan politik’ dalam kalangan Ahli Parlimen ketika majlis mesyuarat berlangsung.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika memberi jaminan itu berkata, beliau yakin semua Ahli Parlimen akan mempamerkan sikap profesional dan lebih matang dalam membincangkan isu rakyat.
"Perbincangan Ahli Parlimen perlu lebih fokus kepada pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat. Saya juga akan lebih bertegas dan tidak akan membenarkan permainan politik (ketika persidangan) berterusan.
"Tumpuan persidangan juga perlu diberikan kepada inti pati Titah Diraja, saya jangka ia menyentuh soal pembangunan negara kerana tahun lepas kita melihat petunjuk serta prestasi baik ekonomi, di samping Kepengerusian ASEAN dan Perhimpunan Agung Antara Parlimen ASEAN (AIPA) ke-46," katanya pada Ahad.
Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan bermula hari ini.
Seri Paduka Baginda dijadual menyampaikan titah ucapan diraja itu bagi perasmian kedua-dua dewan iaitu Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
Inti pati Titah Diraja itu dijangka menyentuh pelbagai perkara penting termasuk soal pembangunan negara serta peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025.
Comments