
Dewan Negara pada Isnin meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (Pindaan) 2025.
Pindaan yang diluluskan selepas dibahaskan 13 Ahli Dewan itu bertujuan mengadakan peruntukan berhubung dengan tanggungan untuk membayar caruman dan kadar caruman yang perlu dibayar ke atas pekerja bukan warganegara.
Terdahulu, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika membentangkan RUU itu berkata, selari komitmen kerajaan untuk memberi layanan yang adil kepada semua pekerja tanpa mengira kewarganegaraan, kerajaan mahu mewajibkan semua pekerja bukan warganegara Malaysia untuk mencarum kepada Skim KWSP.
"Bagi melaksanakan cadangan itu, terdapat keperluan untuk meminda Akta KWSP 1991 (Akta 452) melalui Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja Pindaan 2025," katanya dipetik.
Pindaan itu melibatkan 11 Fasal termasuk meminda subfasal 6(b) untuk membolehkan pekerja bukan warganegara Malaysia mengeluarkan semua atau sebahagian daripada amaun yang ada pada kreditnya apabila pekerja itu mencapai umur 55 tahun di bawah seksyen 55A Akta 452.
"Pelaksanaan caruman mandatori KWSP kepada pekerja bukan warganegara dijangka dapat menggalakkan pihak majikan untuk mengambil lebih ramai pekerja tempatan dan memperkukuh struktur gaji pekerja tempatan ke arah aspirasi negara bagi mencapai status negara berpendapatan tinggi.
"Hal itu dapat membantu kerajaan mengurangkan pekerja bukan warganegara tanpa dokumen kerana hanya pekerja yang sah berdaftar dengan majikan layak mencarum dalam KWSP," katanya.
Menurut beliau lagi, Malaysia selaku Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025 perlu mengambil langkah proaktif dalam memberi perlindungan sosial kepada pekerja bukan warganegara.
Sehubungan itu, beliau berkata Kementerian Kewangan dan KWSP akan menjalankan kajian bagi membolehkan portability of social security benefits dalam usaha berpanjangan untuk membolehkan simpanan KWSP pekerja bukan warganegara dipindahkan ke tabung persaraan di negara asal mereka.
Comments