Dewan Negara pada Rabu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perkongsian Liabiliti Terhad (Pindaan) 2024 yang antara lain bertujuan membantu mengurangkan liabiliti kepada pekongsi dalam perkongsian konvensional
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Fuziah Salleh, di bawah pindaan Akta Perkongsian Liabiliti Terhad 2013 (Akta 743) itu akan memasukkan peruntukan berhubung kerangka pelaporan dan penzahiran maklumat pemunyaan benefisial.
Tambahnya, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menyediakan garis panduan serta soalan lazim (FAQ) bagi memberikan kefahaman kepada entiti Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) agar mematuhi perundangan baharu tentang penzahiran pemunya benifisial di samping memaklumkan tiada kos atau fi pendaftaran digunakan.
"PLT mempunyai obligasi untuk mengenal pasti dan mendapatkan maklumat pemunya benifisial jika seorang individu itu mengetahui beliau seorang pemunya benifisial kepada PLT berkenaan.
"Individu itu juga mempunyai obligasi untuk memaklumkan perkara berkenaan kepada PLT. Jadi ini penting sebab kalau kita tidak maklumkan, dia akan ada 'interest' ataupun dia akan dapat keuntungan atau dia yang buat keputusan, itu maksud pemunya benifisial.
"Katakanlah tender kerajaan, dia masuk 10, tapi 10 itu dia punya benifisial (dan) dia tak register mana-manapun. Jadi mana satu syarikat dapat tender, dia (akan) dapat keuntungan dan itu sebab penting sangat kita daftarkan pemunya benifisial ini," katanya dipetik.
Terdahulu, lima Ahli Dewan Negara membahaskan RUU itu yang kemudian diluluskan dengan lebih suara majoriti.
Comments