Dewan Negara pada Isnin meluluskan dua Rang Undang-Undang (RUU) bagi menangani isu buli.
Rang Undang-Undang (RUU) Kanun Keseksaan (Pindaan) (No 2) 2024 diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas dibahas enam Senator, antara lain mencadangkan subseksyen baharu 507D (2) bertujuan menjadikan suatu kesalahan bagi mana-mana orang dalam apa-apa cara yang menggunakan perkataan atau komunikasi mengugut, menghina atau mencela dengan niat memprovokasi seseorang dan menyebabkan kemudaratan kepada dirinya atau orang lain.
Subseksyen itu memperuntukkan hukuman pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga setahun atau denda atau kedua-duanya.
Subseksyen itu juga memperuntukkan bahawa jika orang diprovokasi cuba untuk membunuh diri atau membunuh diri akibat provokasi itu, hukuman bagi kesalahan dicadangkan ialah pemenjaraan bagi suatu tempoh yang boleh dilanjutkan hingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya.
"Pindaan ini akan memudahkan tindakan PDRM (Polis Diraja Malaysia) untuk menyiasat memandangkan wujudnya undang-undang khas bagi pelaku dapat dituduh.
"Selanjutnya, peruntukan ini bukan hanya merangkumi kecederaan secara fizikal sahaja, ia terpakai kepada kesalahan dilakukan hingga menyebabkan mangsa merasa terganggu, distres, ketakutan atau kebimbangan," kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran dipetik ketika menggulung perbahasan RUU itu.
Sementara itu turut diluluskan di Dewan Negara ialah RUU Kanun Tatacara Jenayah Pindaan (No 2) 2024 yang bertujuan memastikan keselarasan dengan pindaan Kanun Keseksaan.
RUU itu antara lain memperuntukkan kesalahan penetapan berkaitan keperluan waran tangkap, tempoh pengeluaran waran atau saman, ketetapan kesalahan boleh dijamin atau tidak, ketetapan kompaun dan hukuman maksimum bagi setiap kesalahan berkait jenayah buli.
Commentaires