Destinasi sukan pelancongan: Selangor anjur Program Half Marathon 2025
- Suara Keadilan
- 3 hours ago
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Kerajaan Selangor menerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Usahawan akan menganjurkan Program Selangor Half Marathon 2025 (SHM2025) yang bakal berlangsung di Shah Alam pada 14 Jun depan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, program anjuran bersama Innotex Media itu bukan sekadar acara larian, tetapi menjadi wahana penting dalam membudayakan amalan gaya hidup sihat.
''Ia sekali gus mengangkat Shah Alam sebagai destinasi sukan pelancongan mesra keluarga.
''Sehingga 21 April tahun ini, program tersebut telah berjaya menarik penyertaan hampir 3,200 peserta dari dalam dan luar negara, dengan lebih 10 buah negara telah mengesahkan penyertaan.
''Antaranya Jepun, Hong Kong, Brunei, Australia, Singapura dan Indonesia,'' katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam program itu, hadiah wang tunai melebihi RM30,000 ditawarkan, selain lebih 50 hadiah cabutan bertuah menarik menanti peserta.
Berhubung kategori pula, Mohd Najwan berkata, sebanyak tiga kategori ditawarkan iaitu 5km Fun Run, 10km dan 21km Half Marathon, serta satu kategori istimewa iaitu 10km remaja bagi peringkat umur 13 hingga 17 tahun yang diperkenalkan untuk mencungkil bakat muda dalam sukan larian jarak jauh.
''Penganjuran kali ini juga memaksimumkan penggunaan medium digital sebagai medium pemasaran utama.
''Dengan jumlah tontonan iklan di media sosial yang telah melebihi 2.5 juta tontonan, SHM2025 membuktikan bahawa pendekatan digital mampu memberi impak besar dalam promosi, sekali gus mencerminkan iltizam Kerajaan Selangor dalam mendepani era pendigitalan yang semakin pesat membangun.
''Kejayaan penganjuran SHM2025 tidak akan dapat direalisasikan tanpa sokongan rakan-rakan strategik utama seperti Majlis Sukan Negeri Selangor, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Persatuan Olahraga Selangor, serta Tourism Selangor,'' ujarnya lagi.
Turut bersama menjayakan SHM2025 katanya adalah rakan-rakan kerjasama seperti SELCARE, Decathlon, N8 Sports Nutrition, ATF Sports Taping, EMW Solution, Yong Kang TCM, serta Future Proof Sports Rehab.
''Tidak dilupakan juga sokongan penuh dari beberapa komuniti larian yang aktif, antaranya Ninja Runners dan Kazoku Runners yang menjadi sebahagian nadi penggerak program ini.
''Pentadbiran ini percaya SHM2025 bukan sahaja dapat menyatukan rakyat menerusi sukan,tetapi dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi dan pelancongan negeri melalui pendekatan yang moden, inklusif dan inovatif,'' kata Mohd Najwan yang juga ADUN Kota Anggerik.
Comentários