Kontroversi Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah didakwa menyokong penerimaan derma daripada syarikat arak kepada sebuah sekolah Cina merupakan hal yang sengaja diputar belit oleh pihak tertentu.
Menurut Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, Aiman Athirah tidak sebagaimana ditohmah di media sosial berdasarkan sekeping gambar beliau kelihatan mengangkat ibu jari di belakang replika cek yang mempunyai logo 'tiger' sebuah syarikat pengeluar arak.
Katanya, kehadiran Aiman pada majlis makan malam anjuran Lembaga Pengelola SJKC Tche Min di Sungai Pelek tersebut hanyalah memenuhi undangan majlis kutipan dana anjuran sekolah berkenaan dan tiada kena mengena dengan sumbangan daripada mana mana syarikat .
"Konteks sebenar kehadiran Aiman Athirah adalah untuk menyampaikan sumbangan beliau sebagai Ahli Parlimen bagi tujuan kutipan dana guna untuk membina dewan sekolah SJKC tersebut.
"Adapun gambar beliau di atas pentas yang dilihat membuat isyarat "thumbs-up" adalah kerana majlis makan malam itu berjaya mengumpul dana RM 3.1 juta iaitu lebih daripada sasaran RM 3 juta yang dijangkakan. Ia tidak ada kena mengena sebagai tanda isyarat menyokong menerima sumbangan dari syarikat arak," kata Mujahid dalam kenyataan.
Tegas Senator Dewan Negara itu, Menteri Pendidikan sebelum ini telah menjelaskan bahawa menurut arahan pekeliling kementerian, sumbangan melibatkan syarikat arak, judi atau rokok untuk sekolah tidak dizinkan. Namun, dalam konteks keberadaan Ahli Parlimen Sepang, majlis tersebut adalah majlis amal untuk kutipan dana yang dianjurkan oleh Lembaga Pengelola sekolah, dan sumbagan diterima dari berbagai pihak termasuk komuniti setempat serta ibu-bapa serta pemimpin masyarakat.
"Ia bukan anjuran mana-mana syarikat arak (sebagaimana digambarkan) dan bukan juga sumbangan dari mana-mana syarikat arak secara khusus.
"Replika cek menandakan kutipan derma yang berjaya dikumpulkan iaitu bernilai RM 3.1 Juta dan bukan menandakan ianya majlis khas sumbangan dari syarikat arak untuk tujuan kutipan dana sekolah," katanya.
Tambah Mujahid, dalam hal bersangkutan hukum Islam, Parti Amanah sangat tegas mempertahankan prinsip syariah dan panduannya dalam menjalankan fungsi sebagai sebuah parti politik yang progresif dan inklusif serta mengambil faktor kearifan lokal Malaysia sebagai pertimbangan yang diperakui oleh kehendak kaedah syara'.
Sebaliknya, kata beliau, kekhilafan yang berlaku disebabkan replika cek yang tertera tulisan 'tiger' yang telah disalah-tanggap dengan berbagai tafsiran.
"Saya juga telah dimaklumkan bahawa pihak YB Sepang telah menjelaskan kekhilafan tersebut dalam kenyataannya dan dengan ini menyeru mana-mana pihak agar perlu lebih sensitif dalam hal-hal sedemikian untuk rujukan masa hadapan.
"Akhirnya, berkatalah dengan sesuatu yang tepat dan betul supaya amalan kita dapat dibaiki dan jangan memanjangkan bicara sesuatu berita tanpa mendapat penjelasan yang sebenar sebelum kekesalan menimpa kita," kata Mujahid lagi.
Beliau juga menukilkan sepotong ayat al Quran sebagai peringatan kepada sesiapa yang suka menabur tohmahan: "Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan" (Al Hujurat 6).
Comments