Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menempelak pembangkang yang cuba mengelirukan rakyat dengan menggunakan isu titah adendum bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai modal menyerang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegasnya, sikap yang diambil oleh Perdana Menteri dalam isu tersebut seperti dijelaskan di Dewan Rakyat beberapa minggu lalu adalah untuk menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dengan tidak mendahului mahkamah selain bertujuan untuk melindungi serta memelihara institusi diraja.
"Ternyata, lenggok bahasa yang digunakan Perdana Menteri terlalu tinggi untuk digarap oleh watak-watak berkepentingan ini.
"Justeru, usah bermain dengan sentimen yang mengelirukan rakyat, sebaliknya pimpinan pembangkang perlu lebih matang mengenai soal pemisahan kuasa, jalur hukum dan undang-undang," katanya dipetik.
Titah adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah didakwa membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah, bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.
Anwar pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat Disember lalu ketika disoal sama ada titah tersebut wujud menegaskan, beliau tidak boleh membuat ulasan lanjut mengenai sama ada titah tersebut wujud atau tidak kerana ia berkaitan keputusan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-61 yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Menjawab soalan diajukan Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu), Anwar menegaskan beliau tertakluk kepada undang-undang dan hanya boleh membuat sebarang komen selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan.
Rayuan pada Isnin lalu yang membenarkan Najib memulakan prosiding semakan kehakiman kepada keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah
Pembangkang kemudian dilihat secara sistematik cuba menggunakan keputusan Mahkamah untuk menuduh Anwar dan kerajaan menderhaka kepada institusi diraja dengan menyembunyikan titah tersebut.
"Dalam soal murka dan derhaka ini adalah selayaknya kita bertanyakan kepada watak-watak seperti Tan Sri Muhyidin Yassin, Hamzah Zainuddin dan Takiyudin Hassan dalam kes pembatalan Ordinan Darurat semasa mereka ini di tampuk kuasa.
"Ternyata mereka lebih awal dan berpengalaman dalam soal derhaka kepada Raja-Raja Melayu yang lantas secara jelas membelakangi istana sehingga mengundang rasa dukacita YDPA (Yang di-Pertuan Agong) pada ketika itu," tambah Kamil mengulas tuduhan itu.
Comments