Delegasi Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) telah menerima jemputan daripada Kerajaan Republik Rakyat China (PRC) untuk melawat republik itu sempena ulang tahun ke 50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan PRC.
Menurut kenyataan dikeluarkan oleh KEADILAN, lawatan itu 50 delegasi itu bertujuan untuk mengukuhkan hubungan persahabatan yang telah lama terjalin antara Malaysia dan China sejak termeterainya Kenyataan Bersama antara Tun Abdul Razak dan Zhou Enlai pada tahun 1974 lalu.
"Menerusi lawatan ini, PRC memberi ruang kepada parti politik negara serantau untuk mempelajari serta memahami dasar, inisiatif dan program yang berjaya melonjakkan PRC menjadi ekonomi kedua terbesar dunia.
"Lawatan rasmi KEADILAN diketuai oleh Ketua Delegasi, Saudari Nurul Izzah Anwar juga merangkap Naib Presiden KEADILAN, manakala jurucakap rasmi lawatan ini diwakili oleh YB Sim Tze Tzin, Ahli Parlimen Bayan Baru merangkap Setiausaha Politik Pejabat Presiden.
Lawatan rasmi ini turut disertai barisan pimpinan Pusat, Wanita dan Angkatan Muda KEADILAN.
"Selain pertemuan dengan Menteri Jabatan Antarabangsa Jawatankuasa Pusat, TYT Liu Jianchao, lawatan rasmi selama 10 hari ini turut meliputi beberapa sesi mesyuarat, jalinan kerjasama serta lawatan ke syarikat-syarikat terkemuka di China dalam bidang teknologi hijau, keterjaminan makanan dan bandar pintar," kata kenyataan itu hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, selaku negara ekonomi kedua terbesar di dunia serta rakan dagang utama Malaysia untuk 15 tahun berturut-turut, lawatan tersebut memberi peluang kepada delegasi KEADILAN menilai kemajuan, memperkukuh kerjasama dua hala sekaligus bertukar pandangan mengenai pembangunan ekonomi, teknologi dan kejayaan inisiatif kerajaan seperti program pembasmian kemiskinan di negara tembok besar itu.
"Dalam lawatan ini Naib Presiden Nurul Izzah Anwar turut dijadualkan menyertai Sesi Dialog Antarabangsa bersama Dr Eric X. Li, Pengerusi Chengwei Capital dan Guancha.n serta Professor Busani Ngcaweni, Ketua Pengarah Sekolah Kebangsaan di Afrika Selatan anjuran Beijing Club for International Dialogue.
"Ini adalah penghormatan buat KEADILAN di peringkat antarabangsa apabila diberikan ruang khususnya bagi berinteraksi dan bertukar pandangan tentang hal ehwal antarabangsa di samping mengeratkan kerjasama dan ikatan antara negara-negara selatan," katanya.
Tambah kenyataan itu, KEADILAN yakin lawatan yang julung kali diadakan bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada parti dan negara, malah dapat mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara Malaysia dan China untuk tahun-tahun mendatang.
Terima kasih YAB Dato Seri Anwar Ibrahim di atas kesungguhan merawat kerosakan dan membina semula negara Malaysia yang lebih baik untuk rakyat pelbagai etnik dan kaum di negara ini. Sesungguhnya pengorbanan dan penderitaan yang Dato Seri lalui disepanjang perjalanan dunia politik negara ini, kami doakan semoga Allah Subhanahu wa Ta'ala mengambilnya sebagai amal soleh Dato Seri dengan diberikanNya kesihatan yang baik dan dilimpahi dengan keberkatanNya di dunia dan di akhirat kelak. Terima kasih PMX.