
Kumpulan NGO dan parti politik pada pagi tadi mengadakan perhimpunan "Parti Politik Se-Malaysia bersama NGO Bersolidariti Untuk Gaza, Palestin" di Dewan Jubli Perak, SUK Selangor.
Berikut adalah deklarasi daripada peserta perhimpunan tersebut:
"Solidariti Untuk Palestin, Mengutuk Keras Genosid Israel-Amerika di Gaza, Tamat Penjajahan dan Merdekakan Palestin"
Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah, Maha Penyayang,
Kami, gabungan parti-parti politik Malaysia bersama badan-badan bukan kerajaan (NGO), dengan penuh rasa tanggungjawab dan keprihatinan terhadap kezaliman yang sedang berlaku di Palestin, secara bersama mengisytiharkan:
1. Solidariti teguh untuk Palestin
Berdiri bersama rakyat Palestin yang berjuang mempertahankan tanah air, hak asasi, dan maruah mereka.
Menyatakan sokongan penuh kepada perjuangan rakyat Palestin dalam mendapatkan kemerdekaan yang sah daripada cengkaman penjajahan Zionis.
2. Mengutuk sekeras kerasnya genosid Israel-Amerika di Gaza
1. Mengecam tindakan kekejaman Israel yang didukung oleh Amerika Syarikat dalam pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin, termasuk wanita, kanak-kanak, dan warga tua.
2. Menyifatkan tindakan ini sebagai jenayah perang dan pelanggaran hak asasi manusia yang melampaui batas kemanusiaan.
3. Menuntut Israel dan Amerika dipertanggungjawabkan sepenuhnya atas genosid dan kemusnahan yang berlaku di Gaza.
4. Mengutuk tindakan Israel yang menamatkan gencatan senjata dan meneruskan serangan brutal ke atas Gaza.
5. Mengecam serangan dan pembunuhan secara rambang ke atas petugas kemanusiaan, kesihatan, pekerja media, pegawai awam, dan pihak berkuasa Gaza yang berusaha membantu mangsa perang.
6. Menolak dan mengecam sepenuhnya rancangan Presiden Donald Trump untuk mengambil alih Gaza dan menjadikannya sebagai "Riviera Timur."
7. Mengecam ancaman tidak bertanggungjawab Trump untuk “membiarkan neraka tercetus di Gaza” jika Hamas tidak tunduk kepada tuntutan Israel.
8. Mendesak Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) dan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) untuk segera melaksanakan keputusan mereka dan mengambil tindakan konkrit terhadap jenayah perang Israel.
3. Menuntut penamatan penjajahan, kemerdekaan penuh Palestin
1. Menggesa semua negara, khususnya negara-negara Islam dan anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), untuk mengambil langkah konkrit dalam menamatkan penjajahan Israel.
2. Menyokong pembentukan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara.
3. Menolak sebarang bentuk normalisasi hubungan dengan Israel selagi hak rakyat Palestin tidak dipulihkan sepenuhnya.
4. Meningkatkan tekanan ekonomi terhadap Israel
1. Memutuskan sebarang perdagangan secara langsung atau tidak langsung dengan Israel, termasuk produk, syarikat, atau entiti yang menyokong rejim Zionis.
2. Mendesak kerajaan Malaysia untuk menguatkuasakan sekatan perdagangan terhadap mana-mana syarikat yang terlibat dalam menyokong Israel.
3. Menggesa semua sektor ekonomi di Malaysia untuk menghentikan sebarang bentuk pelaburan atau transaksi yang boleh memberi manfaat kepada Israel.
4. Menggalakkan rakyat Malaysia untuk menyokong kempen boikot terhadap syarikat dan produk yang secara langsung atau tidak langsung menyumbang kepada ekonomi Israel.
5. Tuntutan kepada badan dunia
1. Mendesak PBB untuk segera mengenakan sekatan antarabangsa terhadap Israel serta menggantung keahliannya daripada badan-badan dunia.
2. Menggesa ICC untuk segera mengeluarkan waran tangkap terhadap pemimpin-pemimpin Israel yang bertanggungjawab atas jenayah perang di Gaza.
3. Menuntut Majlis Keselamatan PBB agar menghapuskan kuasa veto yang sering digunakan oleh Amerika Syarikat untuk melindungi kezaliman Israel.
4. Menggesa negara-negara Islam dalam OIC untuk segera bertindak secara kolektif dengan langkah-langkah tegas termasuk memutuskan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan Israel serta negara yang mendukungnya.
5. Menuntut agar kepungan ke atas Gaza ditamatkan serta membenarkan bantuan kemanusiaan tanpa sebarang sekatan.
6. Tindakan Malaysia
1. Terus bersuara dan menyatakan solidariti tanpa kompromi terhadap perjuangan Palestin.
2. Berusaha menggembleng negara-negara yang menolak penjajahan Israel ke atas Palestin dan menyokong pemulihan semula kedaulatan Palestin.
3. Menuntut agar kepungan ke atas Gaza ditamatkan serta membuka laluan bantuan kemanusiaan dengan segera.
4. Memperkukuhkan usaha diplomatik Malaysia di peringkat antarabangsa dalam menekan Israel melalui forum-forum global.
5. Meningkatkan tekanan ekonomi melalui memutuskan sebarang hubungan perdagangan dengan Israel secara langsung atau tidak langsung.
6. Menggerakkan lebih banyak bantuan kemanusiaan melalui kerjasama dengan NGO dan badan antarabangsa yang dipercayai.
Dengan penuh kesedaran dan keazaman, kami berikrar untuk terus memperjuangkan keadilan bagi rakyat Palestin serta berusaha menghentikan segala bentuk kezaliman dan penindasan yang mereka alami.
תגובות