Oleh: Akmal Manaf
Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kini sedang menyusun semula penjaja di ibu kota termasuk pemegang lesen KL MADANI bagi memastikan golongan itu dapat menjalankan perniagaan secara sah di tapak gerai yang lebih formal dan berstruktur.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa menyifatkan, tidak semua kawasan di ibu negara sesuai untuk aktiviti penjaja.
"Melalui Program Lestari Niaga, DBKL telah, sedang dan juga akan menyusun semula penjaja di ibu kota termasuk pemegang lesen KL MADANI dengan memastikan mereka dapat berniaga secara sah di tapak gerai yang lebih formal dan berstruktur.
"Sepanjang tahun 2023 dan 2024, program ini telah memberi manfaat kepada 2,621 peniaga dan penjaja kecil melalui pelaksanaan 83 projek di 86 lokasi gerai makanan dan juga pasar.
"Program Lestari Niaga akam diteruskan untuk tahun 2025 nanti dengan cadangan pelaksanaan kepada 20 projek yang dianggarkan akan melibatkan sekitar 1,300 penjaja," katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta Perdana Menteri menyatakan status terkini Lesen KL MADANI yang telah dikeluarkan oleh DBKL dan adakah lesen-lesen ini masih aktif serta berapa jumlah keseluruhan lesen yang telah dikeluarkan setakat ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, berdasarkan rekod, jumlah lesen yang telah dikeluarkan di bawah KL Prihatin adalah sebanyak 4,328.
Namun ujarnya, setelah pandemik berakhir, jumlah terkini pemegang lesen yang masih aktif dan telah memperbaharui lesen atas jenama KL MADANI adalah seramai 433 orang sahaja, iaitu kira-kira 10% daripada jumlah lesen asal.
"Penjaja-penjaja ini akan dipantau supaya tidak menyebabkan perkara-perkara seperti menyebabkan kesesakan lalu lintas akibat berniaga di lokasi yang tidak sesuai, menjaga kebersihan bandar agar tidak terjejas akibat ketidakpatuhan pematuhan penjaja terhadap garis panduan dan menjaga persaingan ruang awam antara penjaja dan pengguna lain seperti pejalan kaki di kawasan siar kaki atau kaki lima," katanya kepada dewan.
Comments