Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi peraturan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang menetapkan peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini.
Pihak berkuasa tempatan itu dalam kenyataan berkata Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982 dalam akta tersebut menetapkan huruf-huruf bagi perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan bersaiz lebih besar perkataan dalam bahasa lain.
"Berdasarkan Undang-Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 menyatakan bahawa semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga dalam apa-apa bahasa lain," kata kenyataan itu hari ini.
Kenyataan itu berkata DBKL bertanggungjawab memproses dan meluluskan papan tanda iklan premis perniagaan yang merupakan sebahagian daripada lesen komposit, iaitu lesen yang diluluskan bersama lesen premis perniagaan.
"Semua pemilik premis perniagaan hendaklah memastikan pemasangan papan tanda iklan di premis perniagaan, perlu terlebih dahulu memohon lesen sebagaimana diperuntukkan di dalam perenggan 5 (1) Undang-undang Kecil Iklan WPKL 1982.
"Bagi permohonan lesen papan tanda premis ini, pengesahan visual daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka adalah salah satu dokumen wajib yang perlu diserahkan oleh pemohon kepada DBKL untuk kelulusan," ujarnya.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut berkata jika nama sesuatu firma, persatuan atau syarikat, sebagaimana yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965 atau Akta Pertubuhan 1966, terdiri dari atau termasuk perkataan-perkataan yang bukan dalam bahasa kebangsaan, maka tidaklah perlu untuk menterjemahkannya kepada bahasa kebangsaan.
Tambahnya, sepanjang tahun ini, DBKL dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah menjalankan operasi di enam lokasi pusat membeli belah dan mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 31 notis kesalahan.
Katanya ia melibatkan premis mempunyai lesen perniagaan tetapi tidak mempunyai kelulusan lesen iklan papan tanda.
"Premis akan dikenakan tindakan kompaun oleh DBKL. Tindakan menurunkan papan iklan juga boleh dilakukan oleh DBKL," ujarnya.
"Premis mempunyai lesen perniagaan dan lesen iklan papan tanda tetapi melanggar syarat-syarat iklan iaitu perkataan dalam bahasa kebangsaan perlu lebih besar dari saiz huruf dalam bahasa lain," katanya lagi.
コメント