Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membatalkan sambutan Ambang Merdeka 2024 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Merdeka pada malam 30 Ogos ini.
Menurut hantaran di Facebook DBKL, pembatalan itu sebagai menghormati mangsa insiden yang berlaku di sekitar ibu kota baru-baru ini.
Kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India pada Jumaat lalu menyebabkan seorang wanita warga India dikenali Vijayaletchumy, 48, hilang selepas terjatuh ke lubang benam sedalam 8 meter dengan operasi mencari dan menyelamat sudah memasuki hari ketujuh hari ini.
Langkah terpuji
Keputusan DBKL ini adalah langkah terpuji dalam memaknai erti kemanusiaan, meskipun mangsa yang terlibat dalam insiden lubang jerlus itu bukan warganegara Malaysia.
Ini memperlihatkan DBKL mempunyai nilai kemanusiaan sejagat yang melangkaui sempadan dunia dalam tindakannya.
Dengan keputusan DBKL ini, pujian juga tentunya harus diberikan kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif atas pembatalan sambutan Ambang Merdeka itu.
Tinggi jiwa kemanusiaan
Kedua-dua mereka nampaknya mempunyai jiwa kemanusiaan yang tinggi. Bersama-sama pembatalan itu, DBKL bagaimanapun terus mengajak orang ramai untuk menghayati erti kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik.
DBKL dalam kenyataan malam tadi turut memaklumkan, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) memasuki saluran kumbahan dari lurang di Wisma Yakin, manakala kerja-kerja “shoring” (sistem sokongan sementara) secara manual dan penggalian juga dilaksanakan.
Menurut kenyataan itu lagi, usaha mengesan mangsa menggunakan Ground Penetrating Radar (GPR) atau radar menembusi tanah oleh Jabatan Mineral dan Geosains akan diteruskan sehingga mangsa dapat ditemui.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Ahmad Izram Osman dilaporkan berkata, pihaknya mengesan halangan berupa objek tersekat antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua yang terletak kira-kira 80 meter.
Katanya, dapatan itu hasil pengesanan dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa ke lokasi kejadian petang semalam selain pengesanan menggunakan kamera.
Comments