Oleh: Noraini Nordin
ULASAN BERITA: Satu lagi pengiktirafan terhadap kaum wanita dalam pembangunan negara ini diserlahkan oleh Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kali ini dengan pelantikan Datuk Seri Paduka TPr. Dr Maimunah Mohd Sharif, 63 tahun sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur baharu bagi menggantikan Datuk Kamarulzaman Mat Salleh yang bersara wajib.
Dengan pelantikan tersebut, Dr Maimumah yang sebelum ini pernah memegang jawatan Yang Di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai adalah wanita pertama di negara ini memegang jawatan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Pelantikan bekas Presiden Persatuan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia (MALA) itu mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan selaras dengan Subseksyen 4 (2) Akta Ibu Kota Persekutuan 1960.
Pengalaman luas
Mempunyai pengalaman luas, Dr Maimunah merupakan individu yang bertanggungjawab mengembalikan kedudukan Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) sebagai peneraju pemikiran dalam perbandaran mampan dengan pengalaman selama 39 tahun dalam perancangan bandar, penjanaan semula bandar dan pembangunan yang diterajui komuniti.
Beliau pernah diberi tanggungjawab sebagai Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Setiausaha Agung mengenai Bandar Masa Depan dan Pengerusi Bersama Gabungan 2030 Kerajaan tempatan.
Bekas Pengarah Eksekutif UN-Habitat yang berpusat di Nairobi, Kenya selama enam tahun itu kini adalah juga penasihat kepada Majlis Antarabangsa Inisiatif Alam Sekitar Tempatan (ICLEI).
Berdasarkan pengalaman luasnya itu, tidak diragui lagi Dr Maimumah adalah pilihan yang tepat untuk menduduki kerusi Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Hal ini menandakan Kerajaan Madani pimpinan Anwar benar-benar memilih mereka yang berkelayakan, selain memperlihatkan pengiktifaran yang tiada nilainya kepada kaum wanita.
Perbaiki kehidupan warga KL
Dr Maimumah diyakini mampu menjadikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai agensi kerajaan tempatan yang berwibawa serta memberikan kehidupan lebih baik bagi warga kota Kuala Lumpur.
Ketika menyerahkan surat pelantikan kepada Dr Maimunah di pejabatnya di Putrajaya, Anwar menyatakan harapan agar pengalaman hampir empat dekad Dr Maimunah dalam perancangan bandar dan pembangunan komuniti dapat memperbaiki kehidupan warga Kuala Lumpur.
"Semoga pengalaman hebat yang dimiliki ini akan digunakan untuk memperbaiki taraf kehidupan warga Kuala Lumpur serta mengangkat imej, reputasi dan martabat bandaraya ini ke peringkat lebih tinggi, Insya-Allah," kata Perdana Menteri.
Melihat profil pengalaman dan kelayakan Dr Maimunah, yang pasti warga Kuala Lumpur juga turut sama berbangga serta gembira dengan pelantikan itu yang dianggap amat bertepatan.
Selamat bertugas Dr Maimunah. Semoga dipermudahkan segala urusan. Dr Maimunah adalah seorang lagi figura kebanggaan wanita Malaysia.
_____________________________________________________________________________
Penulis juga adalah Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat.
Comments