Malaysia mengambil bahagian dalam BRICS kerana bersetuju dengan prinsip dasar perkongsian pada masa depan yang diterima baik oleh negara Asia, Afrika, Amerika Latin dan Selatan Global.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perhatian khusus juga diberikan terhadap pandangan China yang menggesa pembinaan masa depan bersama untuk menegakkan keamanan dan keselamatan global serta berkongsi teknologi.
Beliau menyifatkan ucapan Presiden China Xi Jinping pada Persidangan BRICS di Kazan, Rusia baru-baru ini sebagai menakjubkan.
"Beliau (Jinping) menggesa, dalam semangat masa depan bersama diterima pakai, menentang kuasa perselisihan dan perlindungan, kita mesti membina masyarakat dengan masa depan bersama, untuk menegakkan keamanan global, keselamatan global dan berkongsi pengalaman, kepakaran, dan teknologi kepada dunia.
"Dan juga ambil perhatian kepada kenyataan Perdana Menteri Li Qiang, bahawa kejayaan fenomenal yang dicapai oleh China adalah contoh bukan sahaja isu tadbir urus dan dasar yang betul, malah sikap yang menjanjikan untuk memastikan bahawa perdagangan,
pelaburan dan kemakmuran ekonomi akan memberi manfaat kepada masyarakat antarabangsa.
"Ini sudah tentu, bukan satu kenyataan yang mudah kerana ia bertentangan kepada pandangan banyak ekonomi yang berkuasa di dunia.
“...Dan atas alasan inilah saya sependapat dengan rakan lain yang memuji China dan kepimpinannya kerana menolak amalan perdagangan yang sangat kabur, merendahkan dan tidak adil,” kata beliau ketika berucap pada perasmian Ekspo Import Antarabangsa China (CIIE) ketujuh yang diadakan di Pusat Pameran dan Konvensyen Kebangsaan (NECC) di Shanghai hari ini.
Tahun ini, Malaysia telah diberi penghormatan sebagai "Country of Honour" di CIIE ketujuh bertemakan 'Era Baharu Masa Depan Dikongsi' yang diadakan mulai hari ini hingga 10 November.
Anwar yang juga Menteri Kewangan diberikan keistimewaan berucap sejurus selepas rakan sejawatannya dari China, Li Qiang, diikuti pemimpin dari lima negara lain: Perancis, Nicaragua, Arab Saudi, Tanzania, dan Uzbekistan.
CIIE merupakan inisiatif kerajaan China bagi menyediakan platform untuk negara yang terlibat dalam Inisiatif Jalur dan Jalan (BRI) supaya dapat mempromosikan dan mengeksport produk serta perkhidmatan masing-masing ke republik itu.
Perdana Menteri berkata CIIE memberi peluang bukan sahaja kepada syarikat China malah syarikat di seluruh dunia, termasuk syarikat kecil dan perusahaan sederhana, untuk mengetengahkan kapasiti dan keupayaan masing-masing serta menarik pelaburan baharu.
“Jadi, kerjasama pelbagai budaya untuk perdagangan bebas dan matlamat kemampanan perlu dimanfaatkan sebagai kaedah untuk memacu kemajuan global secara saksama dan bukannya sebagai senjata untuk mengekang persaingan, menggalakkan kelebihan tidak adil atau mencetuskan konflik,” kata beliau.
Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun depan, Anwar berkata Malaysia mahu memperkukuh kerjasama serantau dan rangka kerja serantau berasaskan peraturan yang inklusif.
“Dalam hal ini, kami mahu berkongsi prinsip masa depan bersama berpandangan jauh yang diketengahkan China apabila kami menganjurkan ASEAN-GCC (Majlis Kerjasama Teluk), kami juga akan mengadakan acara yang dipanggil Sidang Kemuncak ASEAN Plus GCC Plus China,” kata beliau.
Sidang kemuncak itu dijadual berlangsung pada Mei 2025.
Anwar menambah acara itu akan memberi kesan besar kepada trajektori pertumbuhan serantau dan memberikan sumbangan ketara dalam mencapai hasil positif berkaitan keseimbangan global dalam pelaburan perdagangan ekonomi, pelaburan dan kemajuan ekonomi.
"Sebagai ekonomi kelima terbesar di dunia, ASEAN juga berpotensi menjadi daya penggerak untuk pertumbuhan sosio-ekonomi inklusif, yang membuka laluan ke era kemakmuran bersama yang mampan yang belum pernah berlaku sebelum ini.
“Kami akan melakukan sebaik mungkin, seperti yang anda lihat di China, dalam mengetengahkan tadbir urus yang baik dan memerangi serta membasmi rasuah, selain melaksanakan agenda pembaharuan sosio-ekonomi dan perindustrian.
“Kami terus memperoleh inspirasi, Perdana Menteri Li Qiang, oleh kejayaan luar biasa anda dalam memerangi kemiskinan, yang jelas menunjukkan pencapaian besar dalam penyusunan semula sosial,” kata Anwar.
Anwar dalan rangka lawatan kerja ke China dari 4 hingga 7 November atas jemputan rakan sejawatannya, Li, untuk menghadiri CIIE ketujuh di Shanghai, sebuah metropolis antarabangsa moden.
Sebanyak 68 syarikat Malaysia menyertai CIIE tahun ini.
Perdana Menteri tiba pada Isnin menjadikan Shanghai sebagai destinasi pertama sebelum meneruskan perjalanan ke Beijing.
Anwar diiringi Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz; serta Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong.
Comments