Kementerian Digital masih mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi merangka dasar baharu untuk membantu sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) membabitkan proses pendigitalan dalam perniagaan mereka.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata, kementeriannya telah mengadakan pertemuan dengan KUSKOP dan pihak berkepentingan dua minggu lepas.
"Saya berharap perbincangan ini dapat dimuktamadkan dalam bulan ini dan menjelang akhir tahun kita dapat membuat keputusan mengenai langkah seterusnya dari sudut polisi (dasar) dan sebagainya," katanya pada sidang media selepas pelancaran 'Kajian Impak Kecerdasan Buatan (AI), Digital dan Ekonomi Hijau ke atas Tenaga Kerja Malaysia' di Kuala Lumpur hari ini.
Gobind berkata memandangkan PMKS terletak di bawah bidang kuasa KUSKOP, maka perbincangan secara khusus perlu diadakan untuk memastikan mereka dapat mengadaptasi teknologi dalam perniagaan mereka.
"Kedua, bagaimana kita dapat mewujudkan suasana yang mampu menjamin kos yang efektif untuk perniagaan tersebut," katanya dipetik.
Gobind berkata, pihaknya telah mengemukakan pandangan kepada KUSKOP berkaitan dasar yang bakal dirangka dan bersedia membawa perkara itu ke peringkat selanjutnya.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia Steven Sim dan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud.
Comments