Dari reformis jalanan ke AJK Cabang Gombak undian tertinggi
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 2 min read

Pemilihan KEADILAN 2025 peringkat cabang mencatat banyak kejutan dan turut menyaksikan pemimpin reformis jalanan diiktiraf serta diangkat ke kedudukan terbaik.
Hal itu juga berlaku di Cabang Gombak apabila anak muda Arie Yudistaraishaq Arifin yang sebelum ini konsisten sebagai sebagai pejuang akar umbi mendapat undi tertinggi sebagai AJK Cabang.
Menurut satu kenyataan, Arie mendapat 890 undi dalam persaingan seramai 58 calon bagi mendapat tempat.
"Beliau adalah anak muda jalanan. Pernah digari kerana menuntut keadilan. Pernah diheret ke balai kerana berdiri mempertahankan suara rakyat. Tetapi beliau tidak pernah tunduk. Bagi Arie, melawan kezaliman bukan jenayah. Ia adalah kewajipan.
"Ketika ramai memilih diam, Arie memilih untuk bersuara. Ketika ada yang tunduk kepada tekanan polis, Arie berdiri tegak dengan semangat reformasi.
"Dan ketika dirinya ditangkap, dua tokoh perjuangan rakyat iaitu Yusmadi Yusoff dan Shamsul Iskandar Mohd Akin tampil membela. Bukan kerana simpati, tetapi kerana mereka tahu anak muda ini adalah kesinambungan perjuangan yang tidak boleh dibiarkan padam," kata kenyataan itu.
Di Cabang Gombak, Arie tidak lari daripada mendukung perjuangan KEADILAN ketika ketua cabang ketika itu berkhianat menyertai kerajaan 'tebuk atap'. Beliau berusaha bersama pejuang reformasi yang setia kepada kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim membina semula KEADILAN sehingga berjaya mengekalkan kerusi itu pada Pilihan Raya Umum 2022.
"Gombak bukanlah cabang biasa. Di sinilah episod paling perit dan pengkhianatan paling nyata pernah berlaku.
"Namun Arie tidak gentar. Beliau hadir untuk menyusun semula kekuatan. Untuk menyambung semula simpul perjuangan yang pernah longgar. Untuk membina kembali kepercayaan yang pernah hilang," kata kenyataan itu lagi.
Kemenangan Arie waktu ini mungkin permulaan kepada kerjaya politiknya yang lebih gemilang pada masa hadapan.
Dengan 890 undi tangan anggota Cabang Gombak di belakangnya, Arie Yudistira melangkah ke hadapan. Bukan untuk diri sendiri tetapi untuk Gombak. Untuk KEADILAN dan untuk Malaysia yang lebih berani lagi bermaruah.
Comments