Hasil dapatan daripada program Kembara Jumpa Orang Muda (Kembara JOM) yang digerakkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sejak Februari lalu akan digunakan sebagai panduan dalam Belanjawan 2025.
Timbalan Menteri KBS, Adam Adli Abd Halim berkata sebanyak 25 siri kembara itu menjadi platform untuk pihaknya mendengar hasrat dan aspirasi golongan itu agar program untuk memenuhi keperluan golongan belia dapat dijayakan.
"... Contohnya, belanjawan ini akan diterjemahkan untuk program. Jadi, kita tidak boleh teruskan program yang kita lihat tidak lagi diperlukan. Sebaliknya, kita akan salurkan lebih banyak dana kepada program yang paling mustahak.
"Jadi, itu tujuannya dan input yang kita ambil dari kembara ini kita jadikan sebagai asas. Ini input terbaik yang kita boleh beri (iaitu) suara dan pendapat orang muda yang kita temui dan ajak berdialog," katanya dipetik.
Adam Adli berkata begitu pada siri akhir Kembara JOM peringkat negeri Terengganu di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah di sini pada Sabtu.
Mengulas lanjut beliau menjelaskan, antara maklum balas awal diperolehi dari program kembara itu antara lain berkaitan kebimbanga golongan belia kepada soal peluang, isu pendidikan, pekerjaan, dan kos sara hidup.
"Mereka menuntut agar ekonomi berkembang lebih pesat, dan membuka ruang untuk mereka muncul sebagai usahawan yang boleh bersaing serta kewujudan infrastruktur lebih baik," katanya lagi.
Sementara itu sebagai mengulas mengenai program kembara itu, ia jelasnya berjaya melepasi sasaran 19,000 peserta apabila siri akhir pada hari ini berjaya merekodkan kehadiran 22,000 orang yang mengambil bahagian di seluruh negara.
Commentaires