
Perbuatan segelintir individu melemparkan tuduhan terhadap pemimpin DAP beragama Islam sebagai kafir dan murtan perlu dihentikan kerana parti itu bukan agama.
Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Baghaib Ali menegaskan menyertai DAP tiada kaitan dengan iktikad keIslaman seseorang sebaliknya ia adalah sebuah wadah dan 'kenderaan' politik.
"DAP merupakan parti berdaftar bawah ROS (Pendaftar Pertubuhan) dan bergerak secara sah mengikut lunas undang-undang.
"DAP bukan agama. Masuk DAP bukan bermaksud keluar dari Islam untuk menganut agama lain," ujarnya dalam kenyataan.
Beliau mengulas mengenai hantaran-hantaran dimuat naik di media sosial yang "menyerang" dua ahli parlimen DAP berketurunan Melayu Islam - Shahredzan Johan (PH-Bangi) dan Young Syefura Othman (PH-Bentong) yang dituduh kafir dan murtad.
Kedua-dua pemimpin muda DAP itu berjaya menduduki carta 30 anggota Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) pada pemilihan parti itu hujung minggu lalu.
Syahredzan pula berjaya dipilih sebagai salah seorang daripada empat Naib Pengerusi DAP
Sheikh Umar menegaskan bahawa DAP merupakan organisasi politik yang bergerak mengikut perlembagaan negara dan mengiktiraf Islam sebagai agama rasmi Persekutuan seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata pihak yang menuduh orang Islam menyertai DAP sebagai terkeluar dari agama mempunyai dua kemungkinan iaitu sama ada mereka jahil atau berfikrah ekstremis.
"Ada yang tidak senang dengan pemilihan sahabat saya Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman sebagai ahli CEC DAP. Sejak keputusan diumum lewat petang 16 Mac lalu, banyak kecaman liar dilemparkan khususnya di media sosial. Ada yang tuduh kafir, murtad dan sebagainya," ujar beliau.
Katanya terdapat komen secara 'anonymous' dan tidak menggunakan nama sebenar menulis; "Dua Melayu ini sudah terkeluar dari Islam... sudah murtad, sudah jadi kafir sebab angkat si kafir jadi pemimpin.."
Selain itu 'Park Damm' pula menulis; "Dia nie.. aku rasa nnt [nanti] mati.. sapa [siapa] nak kapan dia?? Aku bukan sembang pasai agama.. tp [tapi] tgk [tengok] cara dia kluaq [keluar] dari agama.. mntk2 [minta] dua bertaubat. Sblm [sebelum] mati.."
Jelas Sheikh Umar yang merupakan lulusan usuludin Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya berkata ketika beliau menyertai DAP kira-kira 10 tahun lalu, perkara yang sama turut berlaku.
Ketika itu beliau dituduh sebagai kafir harbi DAP apabila dilantik sebagai ahli lembaga pemegang amanah (ALPA) YADIM pada 2019.
"Saya fikir tohmahan sebegini sudah berhenti. Rupa-rupanya tidak," katanya.
Beliau menjelaskan menuduh seseorang Muslim sebagai 'kafir' merupakan amalan takfiri sama seperti perangai golongan Khawarij.
"Dalam sejarah, golongan Khawarij telah menghalalkan darah orang Islam yang tak sealiran dengan mereka. Kesannya, berlaku pembunuhan dan umat Islam berpecah. Ini sangat bahaya.
"Islam melarang amalan takfiri," tegasnya.
Comments