Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan tidak pernah mengetepikan pelaburan asing masuk ke Kedah, malah turut memberi cadangan dan menyokong syarikat seperti Hyundai Motor dari Korea Selatan untuk melabur di Kulim.
Perdana Menteri berkata meskipun terdapat beberapa tempat lain yang turut dilihat sesuai, lokasi daerah itu yang berdekatan dengan kemudahan pelabuhan dan lapangan terbang mendorong beliau mencadangkan kawasan Kulim.
Beliau ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bahawa terdapat rancangan dilakukan untuk menggagalkan pelaburan swasta di negeri itu.
Anwar secara berseloroh berkata: "Saya juga ejen Kedah (membawa pelaburan luar ke Kedah)."
"Walaupun beliau (Sanusi) kata begitu, tetapi saya masih sokong Hyundai untuk melabur (di Kulim), (walaupun) ada beberapa tempat (pilihan) lain, tetapi kerana infrastruktur yang disediakan dan juga saluran eksport melalui Pelabuhan Pulau Pinang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, (maka) kita cadang di Kulim," katanya yang dipetik dari sidang akhbar bersama media Malaysia pada hari terakhir lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan semalam.
Sebelum ini, konglomerat pelaburan global, Bin Zayed International Group of Companies (BZI) mengesahkan menarik diri secara rasmi daripada projek Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion.
"Sejak 2022, kami memutuskan untuk menarik diri dan memberi tumpuan kepada peluang yang lebih baik, realistik dan potensi lebih besar," kata Pengarah Urusan Bin Zayed International (M) Bhd, Datuk Seri Dr Shamir Kumar Nandy
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata lawatan rasmi tiga hari ke Korea Selatan menjana potensi pelaburan bernilai RM32.8 bilion kepada Malaysia manakala potensi eksport sebanyak RM1.3 bilion.
Selain mengeratkan hubungan dua hala, lawatan itu membuka peluang untuk menarik pelaburan berimpak tinggi ke Malaysia ketika pertemuan dengan syarikat besar negara itu.
Pertemuan itu melibatkan syarikat termasuk Hyundai Motor, Lotte, OCI Holdings, Samsung, SK Nexilis dan POSCO.
Hyundai Motor mengumumkan pelaburan baharu bernilai AS$479 juta di Malaysia bagi tempoh enam tahun, menerusi perkongsian strategik bersama Inokom bagi pemasangan automotif untuk beberapa model baharu di Malaysia pada tahun depan.
Korea Selatan merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia manakala Malaysia pula ialah rakan dagang ke-11 terbesar bagi Korea Selatan.
Setakat Oktober lalu, jumlah perdagangan Malaysia dan Korea Selatan mencecah RM91.1 bilion (AS$19.8 bilion).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam hnntaran di X hari ini menyatakan kerajaan tidak pernah mensabotaj pelaburan ke Kedah sebaliknya banyak pelaburan yang dibawa masuk ke negeri dikuasai pembangkang itu.
"Susulan pertemuan bersama Perdana Menteri di Korea Selatan, Hyundai Motor Company (HMC) telah mengumumkan pelaburan RM2.16 bilion di Kulim, Kedah," katanya.
Tengku Zafrul berkata HMC merancang menjalankan pemasangan kenderaan tempatan, termasuk model EV (kereta elektrik) di Kulim selain menghasilkan model premium dan mewah yang disasarkan untuk pasaran ASEAN menjelang pertengahan 2025.
Comentarios