
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menempelak tuduhan yang mendakwa Kerajaan MADANI menggunakan Akta Hasutan 1948 (Akta 15) sewenang-wenangnya bagi menindas pihak tertentu.
Sambil menegaskan tuduhan tersebut adalah tidak benar, beliau berkata perkara itu boleh dibuktikan berdasarkan fakta bahawa tiada lonjakan kes disiasat di bawah akta itu direkodkan sejak 2015.
"Faktanya tidak menunjukkan kerajaan menggunakan akta itu secara sewenang-wenangnya. Ada tiga keadaan (tahun) jumlah kes yang dibuka kertas siasatannya melebihi 100.
"Ia berlaku pada 2023 iaitu 122 kertas siasatan, 2020 sebanyak 117 kertas siasatan dan 2015 sebanyak 109 kertas siasatan.
"Jadi angkanya lebih kurang sama sahaja, maka tiadalah dikatakan (kerajaan) gunakan sewenang-wenangnya," katanya dipetik ketika sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja bagi Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau turut memberitahu Dewan Rakyat bahawa antara perbuatan yang membolehkan seseorang itu didakwa di bawah akta berkenaan adalah menghina dan menjatuhkan maruah serta kedudukan Yang di-Pertuan Agong, selain menyentuh sensitiviti agama yang berpotensi untuk mencetuskan ketegangan kaum dan merosakkan keharmonian negara.
Sementara itu Saifuddin turut menyangkal persepsi yang mendakwa kerajaan menyekat perhimpunan aman.
Sepanjang tahun lalu jelasnya, 99 peratus perhimpunan dianjurkan daripada kira-kira 7,000 pemakluman kepada polis manakala pada 2023, 98 peratus perhimpunan aman dilaksanakan daripada hampir 10,000 pemakluman kepada polis.
"Ia sekali gus menunjukkan kebebasan berhimpun seperti tertera dalam Perkara 10 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan benar-benar dipraktikkan kerajaan hari ini. Tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya.
Comments