Kerajaan Malaysia bersedia berbincang dengan pegawai tinggi Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) berhubung kebimbangan mengenai dakwaan penghantaran minyak dari Iran yang dikenakan sekatan, yang dikatakan melibatkan sistem kewangan negara ini.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, perkara tersebut dibincangkan secara ringkas dalam mesyuarat Kabinet semalam.
Bagaimanapun beliau berkata, memandangkan perbincangan masih sedang berlangsung pihaknya tidak akan menyentuhnya terlalu mendalam dan panjang lebar.
"Kerajaan Malaysia dan kementerian serta agensi masing-masing bersedia untuk mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatan di AS untuk memahami apa yang dimaksudkan dengan beberapa kebimbangan yang dibangkitkan," katanya pada sidang media di Putrajaya semalam.
Baru-baru ini laporan antarabangsa memetik pegawai tertinggi sekatan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) akan ke Singapura dan Malaysia minggu depan, dalam usaha menyekat saluran dana kepada Iran dan proksinya selain pengelakan sekatan terhadap Rusia.
Sumber enggan dikenali yang biasa dengan perkara itu memberitahu Reuters, terdapat peningkatan dalam wang yang dipindahkan ke Iran dan proksinya, termasuk Hamas, melalui sistem kewangan di Malaysia.
Semasa lawatan itu, yang pertama kali dilaporkan Reuters, Setiausaha Perbendaharaan AS bagi keganasan dan risikan kewangan, Brian Nelson, dijangka membincangkan kebimbangan AS dan risiko sekatan yang ditimbulkan oleh aktiviti sedemikian.
Fahmi berkata isu itu menarik perhatian Perdana Menteri serta Kabinet dan kerajaan melihatnya dengan serius.
"Kita ingin menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara yang berdaulat, pertama sekali, mematuhi sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.
Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan beliau akan bertemu dengan Setiausaha Rendah Perbendaharaan AS bagi keganasan dan risikan kewangan Brian Nelson pada Khamis.
Saifuddin Nasution berkata pada pertemuan itu, beliau akan memberikan penjelasan rasmi negara terhadap segala perkara yang dibangkitkan.
Comments