Dakwaan agenda Islam disekat hanya mahu raih kepentingan politik
- Suara Keadilan
- 13 minutes ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Dakwaan pihak tertentu bahawa agenda Islam disekat serta dihalang pada era Kerajaan Madani merupakan kenyataan tidak berasaskan fakta, sebaliknya ia dilakukan demi meraih kepentingan politik sempit.
Sedangkan pada hakikatnya, pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan oleh kerajaan, kata Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Muhamad Razak Idris.
"Saya berasa amat kesal kerana masih terdapat pelbagai tohmahan dan dakwaan di media sosial yang cuba menggambarkan seolah-olah kepentingan umat Islam dan orang Melayu tergadai, tidak dijaga, disekat serta terancam di era Kerajaan MADANI.
"Kenyataan dan dakwaan tersebut adalah tidak berasaskan kepada fakta yang sebenar dan hanyalah spekulasi semata-mata demi meraih kepentingan politik sempit sesetengah pihak," katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Razak berkata kerajaan menerusi kepimpinan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar banyak gerak kerja di bawah pelan transformasi pentadbiran hal ehwal Islam sedang dan telah dilaksanakan sepanjang lebih dua tahun lalu.
Jelas beliau pencapaian utama Kerajaan MADANI dalam pembangunan hal ehwal Islam antaranya boleh dilihat daripada peruntukan Belanjawan MADANI bagi 2025 yang menyaksikan peningkatan.
Kata beliau pentadbiran hal ehwal halal di negara ini bertambah cekap dan cepat.
"Kuota guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) ditambah sebanyak 1,500 orang di seluruh negara demi memperkasa pendidikan dan pembangunan al-Quran," ujar beliau.
Dalam pada itu, Muhamad Razak menekankan bahawa kedudukan mahkamah syariah dan para hakim syari’e diperkasa dengan
Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024 dan RUU Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2024 telah diluluskan oleh Dewan Rakyat baru-baru ini.
"Peruntukan bagi naik taraf dan penyelenggaraan prasarana institusi pendidikan Islam terus dilaksanakan," ujarnya.
Malah kata beliau program berbentuk keilmuan dan pembangunan al-Quran dan hadis giat diperkasakan menerusi penganjuran aktiviti tilawah serta pembangunan para huffaz.
"Hubungan Malaysia dengan negara-negara di dunia Islam juga bertambah erat dan kukuh," kata Muhamad Razak.
Beliau menjelaskan pencapaian tersebut menjadi bukti kukuh bagaimana agenda pembangunan hal ehwal Islam di negara ini berkembang pesat dan kukuh di bawah pentadiran kerajaan MADANI diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Saya menyeru umat Islam agar tidak mudah terpengaruh dengan kenyataan serta dakwaan yang tidak berasas tersebut.
"Marilah kita seluruh rakyat Malaysia saling meningkatkan persaudaraan dan perpaduan ummah, seterusnya mendokong penuh kepimpinan negara dalam membina Malaysia yang dihormati untuk mendepani pelbagai cabaran di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa," kata beliau.
Comments